Madrid: Antoine Griezmann mencipta detik bersejarah apabila meledak gol ke-200 bersama Atletico Madrid ketika membantu pasukan itu membelasah Eintracht Frankfurt 5-1 dalam aksi Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.
Atletico bermula garang apabila Giacomo Raspadori menyambar bola muntah dalam kotak penalti seawal minit ke-4 sebelum Robin Le Normand menggandakan kedudukan hasil sepakan sudut pada minit ke-33.
Detik paling ditunggu hadir pada masa kecederaan babak pertama apabila Griezmann menolak bola dari jarak dekat untuk gol ketiga pasukan, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai legenda kelab.
Bintang Perancis itu meraikannya dengan jersi istimewa bertulis angka '200'.
Frankfurt cuba bangkit selepas rehat menerusi jaringan Jonathan Burkhardt yang terkena defleksi pada minit ke-57, namun Atletico kembali menguasai permainan.
Giuliano Simeone menjadikan kedudukan 4-1 pada minit ke-70 hasil tandukan kencang dari sepakan penjuru sebelum Julian Alvarez menutup pesta jaringan lapan minit sebelum tamat.
Alvarez menyempurnakan sepakan penalti bergaya selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati boleh terkena tangan Robin Koch di dalam kotak.
Kemenangan itu menjadi yang pertama buat Atletico dalam kempen kali ini selepas gagal mengutip tiga mata pada aksi pembukaan peringkat kumpulan.