
Bumbung zink remuk diterbangkan angin setelah Taufan Bualoi mendarat di wilayah Nghe An pada Isnin. - Gambar AFP
HANOI: Taufan Bualoi menerbangkan bumbung bangunan dan menumbangkan tiang elektrik di sepanjang pantai Vietnam, serta menyebabkan sekurang-kurangnya 11 maut, menurut pihak berkuasa pada Isnin.
Ribut ke-10 membadai Vietnam tahun ini, mendarat lewat Ahad dengan angin selaju 130 kilometer sejam (kmsj).
Ribuan rumah dan perniagaan rosak atau musnah, menurut pihak berkuasa di tiga wilayah kepada AFP.
Imej yang diterbitkan AFP menunjukkan bumbung zink bangunan diterbangkan angin kencang dan sampah sarap berselerakan di jalan raya yang basah di wilayah pesisiran pantai Nghe An.
"Angin menerbangkan bumbung rumah saya dan kemudian ia jatuh, menyebabkan semua rosak.
"Saya terpaksa menutup kepala dan berkejar ke rumah jiran saya untuk menyelamatkan diri," kata Trinh Thi Le, 71, di wilayah tengah Quang Tri, dipetik sebagai berkata oleh akhbar rasmi Tuoi Tre.
Sekurang-kurangnya sembilan maut apabila puting beliung bawaan taufan membadai seluruh wilayah utara Ninh Binh awal Isnin, menurut agensi bencana tempatan. Seorang lagi maut masing-masing di wilayah Hue dan Thanh Hoa, manakala kira-kira 20 lagi hilang, lapor pihak berkuasa.
Antara yang hilang ialah sembilan orang dalam bot nelayan yang karam di laut pada malam Ahad setelah terlepas dari pelabuhan akibat angin kencang dan arus deras, menurut polis.
Lebih 53,000 orang dipindahkan ke sekolah dan pusat perubatan yang dijadikan pusat penempatan sementara menjelang kemaraan Bualoi, menurut kementerian alam sekitar.
Empat lapangan terbang domestik dan beberapa bahagian lebuh raya ditutup pada Ahad, manakala lebih 180 penerbangan dibatal atau ditangguhkan, menurut pihak berkuasa.
Beberapa bahagian di Nghe An dan wilayah tengah pengeluaran keluli Ha Tinh terputus bekalan elektrik, manakala sekolah ditutup di wilayah-wilayah terjejas. Sejak mendarat di Vietnam, Bualoi melemah ketika mara ke arah negara jiran Laos.
Ribut tersebut membadai pulau-pulau kecil di tengah Filipina minggu lepas, menyebabkan sekurang-kurangnya 11 maut dan memaksa pemindahan 400,000 penduduk.
Sejak Januari hingga Ogos, 175 orang disahkan maut atau hilang akibat bencana alam, menurut Pejabat Statistik Umum (GSO).
Jumlah kerosakan mencecah USD371 juta, hampir tiga kali ganda tempoh sama pada 2024, tambah GSO.
Taufan Yagi menyebabkan ratusan maut pada September tahun lepas dan mengakibatkan kerugian ekonomi sekitar USD3.3 bilion.
|