Edited by sfhzuraz at 27-9-2025 11:47 PM
Tindakan FIFA pelik - Khairy Jamaluddin
Oleh Syafiq Aznan - September 27, 2025 @ 2:45pm

Khairy Jamaluddin hairan FIFA buat pusingan U selepas beri kelulusan tujuh pemain warisan layak beraksi mewakili Malaysia.
KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut hairan susulan tindakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mendenda Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan menggantung tujuh pemain berdarah warisan kerana pemalsuan dokumen.
Menerusi Insta Storynya, bekas Menteri Belia dan Sukan itu turut berkongsi carta aliran pendaftaran pemain Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membabitkan pengesahan menerusi datuk atau nenek mereka mengikut Artikel 7a FIFA.
"Pelik. FIFA sudahpun memberikan kebenaran seperti proses ditunjukkan. Ini bermakna FIFA sudah memeriksa dokumen dan melakukan usaha wajar yang diperlukan sebelum membenarkan tujuh pemain itu beraksi.

"Kenapa menukar pandangan sekarang? Siapa yang mengemukakan aduan?," soal Khairy.
Terdahulu, FAM dan tujuh pemain kebangsaan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
FIFA dalam kenyataannya memaklumkan, FAM didapati menyerahkan dokumen dipalsukan dalam urusan kesahihan kelayakan pemain bagi membolehkan mereka diturunkan dalam perlawanan rasmi.
Tujuh pemain terbabit ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel yang beraksi buat negara dalam dua perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027.
Kesemua mereka beraksi ketika perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu, yang kemudian mengundang aduan rasmi kepada FIFA berhubung status kelayakan beberapa pemain berkenaan.
Hasil siasatan, Jawatankuasa Tatatertib FIFA memutuskan FAM perlu membayar denda sebanyak CHF350,000 (RM1.8 juta).
Setiap pemain pula dikenakan denda CHF2,000 (RM10,560) dan digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan, berkuat kuasa serta-merta.
https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2025/09/1451170/tindakan-fifa-pelik-khairy-jamaluddin
|