Hakim Danish dapat 'wildcard' Moto3 GP Malaysia
Oleh Khairil S Iswan - September 24, 2025 @ 2:17pm

Pelumba muda negara, Hakim Danish ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, selepas menamatkan Kejuaraan Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) dalam kelompok tiga terbaik. - NSTP/RAIHANA MANSOR
KUALA LUMPUR: Teka-teki berlarutan sejak beberapa bulan lalu akhirnya terjawab apabila pelumba muda berbakat negara, Hakim Danish Ramli, 18, disahkan bakal membuat penampilan sulung di Grand Prix (GP) Malaysia 2025 menerusi tiket wildcard kelas Moto3.
Pengumuman rasmi oleh Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS (SIC) itu menyaksikan bintang kelahiran Terengganu itu akan tampil beraksi di laman sendiri pada perlumbaan yang dijadualkan berlangsung dari 24 hingga 26 Oktober ini.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, peluang itu sememangnya layak diberikan kepada Hakim Danish berdasarkan kerja keras dan pencapaian cemerlang ditunjukkannya.
"Hakim Danish sememangnya layak mendapat tiket 'wildcard' ini. Tiga tahun selepas penampilan Syarifuddin Azman (Damok), rakyat Malaysia sekali lagi akan menyaksikan pelumba tempatan beraksi dalam saingan Moto3 bersama SIC," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Shafriman berkata, penampilan Hakim Danish bukan sekadar satu penyertaan, tetapi adalah lambang kejayaan rangka tindakan Pembangunan Sukan Permotoran (MDEV) SIC.
"Hakim Danish dibangunkan dari peringkat akar umbi sehinggalah ke pentas dunia dan tanpa ragu, Hakim Danish adalah antara bakat terbaik Malaysia bagi generasinya," kata Shafriman.
Bermula dari program akar umbi Kejuaraan SIC MiniGP, Hakim Danish cemerlang menjuarai Kejuaraan Asia Talent Cup (ATC) pada 2022 sebelum melebarkan sayap ke saingan Eropah seperti European Talent Cup (ETC), Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) dan Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP.
Tahun ini, dia melakar satu lagi sejarah apabila menamatkan kempen RBMRC di tempat ketiga keseluruhan, satu pencapaian membanggakan yang menghimpunkan pelumba-pelumba muda terbaik dunia.
Menurut Shafriman, kejayaan Hakim Danish membuktikan kejayaan kerjasama strategik antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan SIC dalam melahirkan juara melalui laluan pembangunan yang jelas dan tersusun.
"Hakim Danish kini menjadi simbol harapan negara untuk satu hari nanti melahirkan Juara Dunia pertama dari Malaysia, selain menjadi sumber inspirasi kepada generasi pelumba akan datang," katanya.
Dalam pada itu, Shafriman menyeru seluruh peminat sukan permotoran negara supaya tidak melepaskan peluang untuk turun ke SIC dan memberikan sokongan padu kepada Hakim Danish.
"Saya menjemput setiap peminat untuk datang ke SIC, penuhi tempat duduk grandstand, dan bersama-sama kita berikan sorakan gemuruh buat bakal juara masa depan kita di GP Malaysia," katanya.
https://www.bharian.com.my/sukan/litar/2025/09/1449897/hakim-danish-dapat-wildcard-moto3-gp-malaysia
|