Sepang: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berjanji tidak akan melupakan jasa beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei serta pasangan beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah, selepas mencipta sejarah pada Kejohanan Badminton Dunia di Paris, kelmarin.
Menurut Timbalan Presidennya, Datuk V Subramaniam berkata, ganjaran khas akan diumumkan sebaik Presiden BAM, Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, pulang daripada urusan rasmi di luar negara.
"Sudah tentu ada ganjaran. Cuma jumlahnya akan ditentukan presiden selepas perbincangan. BAM memang ada tradisi memberikan bonus kepada pemain yang berjaya," katanya.
Kejayaan Tang Jie-Ee Wei menghadiahkan emas pertama negara dalam beregu campuran sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 1977, selain Pearly-Thinaah yang merangkul perak pertama dalam beregu wanita, disifatkan detik gemilang yang wajar diraikan seluruh rakyat.
"Untuk beregu campuran, ini kali pertama Malaysia juara dunia. Pearly-Thinaah pula catat sejarah sebagai pasangan wanita pertama negara naik podium di pentas dunia. Tahniah buat mereka semua," katanya lagi.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, mengesahkan kedua-dua pasangan itu layak menerima insentif menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) dengan nilai RM20,000 bagi emas dan RM10,000 untuk perak.
Untuk rekod, pada 2022 beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, meraih ganjaran keseluruhan lebih RM500,000 selepas muncul juara dunia di Tokyo termasuk RM300,000 daripada BAM, selain sumbangan penaja dan insentif SHAKAM.