Zaragoza: Pelumba Belgium, Jasper Philipsen sekali lagi membuktikan kepantasan pecutannya apabila menjuarai peringkat kesembilan Vuelta a Espana, sebentar tadi, kemenangan keduanya dalam edisi kali ini selepas menguasai perlumbaan pembukaan.
Bintang Alpecin Deceuninck itu menewaskan Elia Viviani di garisan penamat manakala Ethan Vernon menamatkan saingan di tempat ketiga.
Torstein Traen pula kekal menyarung jersi merah selaku pendahulu keseluruhan buat hari ketiga berturut-turut, mendahului pilihan utama, Jonas Vingegaard dengan kelebihan dua minit setengah.
Perlumbaan sejauh 163 kilometer (km) dari Monzon Templario ke Zaragoza itu sememangnya 'makanan' untuk pelumba pecut selepas dua hari mendaki di kawasan pergunungan.
John Bou, Jose Luis Faura serta pelumba tempatan, Sergio Samitier cuba membuat kejutan awal, namun usaha mereka dipatahkan dengan hanya 17km berbaki selepas peloton mengawal rentak di laluan berangin.
Akhirnya, kelompok utama menyaksikan pertarungan pecut, dengan Philipsen memecut deras meninggalkan Viviani untuk memastikan kemenangan berganda.
Hari ini, kayuhan berbukit sejauh 195.5km menanti dari Alfaro menuju ke resort ski Valdezcaray.