Kuala Lumpur: Daripada sukan lawan pedang kepada olahraga, kini nama Ellina Irez Azizul mula mencuri perhatian selepas memadam rekod berusia 23 tahun dalam acara 1,500 meter (m) Perempuan Bawah 15 Tahun (B-15) pada Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2025.
Meskipun atlet kelahiran Selangor itu baru berusia 14 tahun, dia mencatat masa 4 minit 50.34 saat (s), sekali gus mengatasi rekod lama 4:56.16s milik bekas pelari kebangsaan, K Ganthimathi pada 2022.
Lebih manis, pencapaian luar biasa itu turut melayakkan Ellina dinobatkan sebagai Atlet Terbaik kategori P15 MSSM 2025.
Ibunya, Nurfaiza Rahim berkata, kejayaan itu hadir selepas anaknya berkorban masa demi latihan intensif termasuk bersama jurulatihnya, Radhi Ismail yang banyak memainkan peranan penting dalam kejayaannya ketika ini.
"Saya sangat bangga melihat kejayaannya kerana dia memang berusaha ke arah itu dengan matlamat untuk memecah rekod dalam acara disertai.
"Malah, dia banyak mengorbankan masa remajanya demi mengejar kejayaan lebih besar dalam karier.
"Sebenarnya, dia bermula dengan sukan lawan pedang pada umur 11 tahun. Tapi dalam proses dia nak kuatkan latihan kaki dan tangan, dia berolahraga secara suka-suka pada umur 12 tahun tetapi terus jatuh cinta dengan sukan ini dalam acara 800m dan 1500m," katanya.
Selepas enam bulan menuntut di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Ellina sudah mengumpul koleksi pingat termasuk gangsa di Kejohanan Little Athletics 2025 di Singapura (800m dan 1,500m), perak di MSSM 2025 serta mencipta rekod baharu 1,500m di Kejohanan Olahraga Selangor B-15 dengan masa 4:59.26s.
Nurfaiza turut menaruh harapan agar Ellina mampu mewakili negara dan berharap berpeluang beraksi di Sukan SEA Kuala Lumpur 2027 nanti.
Sementara itu, Radhi menyifatkan anak didiknya itu mempunyai pakej lengkap sebagai atlet masa depan negara.
"Ellina rajin, berdisiplin dan fokus. Walaupun berbadan kecil, dia bersemangat besar.
"Memecahkan rekod MSSM berusia 23 tahun pada usia 14 tahun adalah sesuatu yang luar biasa, malah ini hanyalah permulaan," katanya.