Putrajaya: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) masih berteka-teki sama ada penganjuran MotoGP akan diteruskan selepas 2026 atau sebaliknya kerana ketika ini pihak berwajib sedang mengumpul kelengkapan data sebelum memutuskan keputusannya.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, dengan masa yang ada ketika ini, KBS akan mendapatkan segala maklumat secara terperinci daripada Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mengenai penganjuran sukan permotoran itu terutamanya dari segi manfaat menjana pendapatan kepada negara.
"MotoGP kita tahu, pekerjaan sementara yang dapat dijana daripada sukan itu setiap tahun lebih kurang 4,500 pekerjaan.
"Namun, kita nak generasi muda atau pun warga emas yang terlibat dalam pekerjaan sementara seperti itu mereka dilatih supaya bukan sahaja jana pendapatan tetapi ada skil yang kita berikan kepada rakyat.
"Itu sebab pengumpulan data itu penting dan kita telah tekankan pada SIC untuk pastikan semua ini dicatatkan untuk kita yakinkan kepada Kementerian Kewangan bahawa ini bukan satu pembaziran tetapi banyak memberi manfaat kepada sektor-sektor lain," katanya.
Hannah menegaskan kerajaan sentiasa menyokong penuh penganjuran MotoGP di negara ini dan bersedia memastikan perlumbaan itu terus berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) walaupun kontrak semasa dijangka berakhir pada 2026.
Malaysia sudah menjadi tuan rumah untuk sukan permotoran itu selama 26 tahun iaitu bermula pada 1999.