Polis Kelantan catat rampasan kontraban RM171.5 juta, meningkat 78 peratus
Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim - Julai 17, 2025 @ 9:07am

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat ketika hadir pada Majlis Perhimpunan Bulanan di Perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontijen Kelantan. - Foto NSTP/ Nik Abdullah Nik Omar
KOTA BHARU: Polis Kelantan merekodkan nilai rampasan kontraban sebanyak 171.5 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata rampasan itu adalah peningkatan sebanyak 78 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
"Tahun lalu sepanjang tempoh Januari hingga Jun, nilai rampasan hanya RM37.2 juta manakala tempoh sama tahun ini meningkat ketara kepada RM171.5 juta.
"Peningkatan yang signifikan ini adalah bukti kukuh keberkesanan strategi operasi bersepadu yang dilaksanakan secara konsisten oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA).
"Ia termasuk dalam aspek pengukuhan kawalan sempadan, pembanterasan aktiviti penyeludupan dan perlindungan terhadap kedaulatan serta keselamatan negara," katanya berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Polis Kelantan di sini, hari ini.
Beliau berkata, kejayaan ini tidak hadir tanpa pengorbanan, usaha dan perancangan yang teliti.
"Kejayaan ini turut menzahirkan impak positif hasil kerjasama strategik antara agensi-agensi penguatkuasaan di peringkat negeri dan persekutuan.
"Sinergi yang terbentuk sudah diolah secara optimum dan memberi kesan nyata terhadap kawalan keselamatan negeri Kelantan.
"Oleh itu, saya meminta agar sinergi ini terus diperkasakan, bukan sekadar untuk mengekalkan pencapaian semasa, tetapi untuk menjadi pemangkin lonjakan berterusan dalam usaha memperkukuh keselamatan dan ketenteraman awam secara menyeluruh," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2025/07/1420908/polis-kelantan-catat-rampasan-kontraban-rm1715-juta-meningkat-78-peratus
|