Mohd Khalid Ketua Polis Negara baharu
Oleh Safeek Affendy Razali - Jun 20, 2025 @ 3:42pm

Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilantik sebagai Ketua Polis Negara ke-15 pada Majlis serah tugas, Perbarisan Perpisahan dan Paluan Berundur Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Kuala Lumpur, hari ini. - Foto NSTP/Saifullizan Tamadi
KUALA LUMPUR: Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baharu menggantikan Tan Sri Razarudin Husain.
Pelantikan diperkenan Yang di-Pertuan Agong mengikut Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan, atas nasihat Perdana Menteri serta perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis.
Majlis Serah Terima Tugas jawatan itu berlangsung di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, disaksikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan turut dihadiri Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil serta pegawai-pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Saifuddin berkata, keputusan melantik Mohd Khalid secara kontrak hingga 22 Jun 2027 dibuat berdasarkan kompetensi dan pengalaman luas beliau dalam bidang kepolisan.
"Kerajaan MADANI menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada Datuk Seri Mohd Khalid Ismail atas pelantikan sebagai Ketua Polis Negara secara kontrak selepas bersara.
"Beliau memiliki daya kepemimpinan yang tinggi serta komitmen yang terbukti dalam menerajui pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Saifuddin turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Polis Negara ke-14, Tan Sri Razarudin Husain atas segala sumbangan dan khidmat bakti sepanjang perkhidmatannya sejak 23 Jun 2023.
"Bagi pihak Kerajaan MADANI, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tan Sri Razarudin atas segala sumbangan beliau memimpin PDRM dengan penuh dedikasi dan profesionalisme.
"Khidmat beliau sepanjang menerajui pasukan menjadi landasan kukuh dalam meneruskan kesinambungan kepimpinan PDRM," katanya.
Mohd Khalid dilahirkan pada 8 April 1965 di Manong, Perak dan memperoleh Ijazah Sarjana Perundangan Perbandingan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Beliau menyertai PDRM pada 5 April 1987 dan memulakan tugas di Cawangan Khas, Bukit Aman. Sepanjang kerjayanya, beliau pernah menjawat jawatan utama termasuk Timbalan Pengarah Cawangan Khas I serta Pegawai Perhubungan Keselamatan di London, United Kingdom.
Mohd Khalid dinaikkan sebagai Pengarah Cawangan Khas pada 10 April 2023 sebelum bersara wajib pada 8 April 2025, namun perkhidmatannya disambung secara kontrak hingga kini.

Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilantik sebagai Ketua Polis Negara ke-15 pada Majlis serah tugas, Perbarisan Perpisahan dan Paluan Berundur Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Kuala Lumpur, hari ini. - Foto NSTP/Saifullizan Tamadi

Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilantik sebagai Ketua Polis Negara ke-15 pada Majlis serah tugas, Perbarisan Perpisahan dan Paluan Berundur Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Kuala Lumpur, hari ini. - Foto NSTP/Saifullizan Tamadi
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/06/1410445/mohd-khalid-ketua-polis-negara-baharu
|