CariDotMy

 Forgot password?
 Register
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
View: 969|Reply: 0

Dua zuriat dilahirkan secara IVF

[Copy link]
Post time 24-4-2025 12:03 PM | Show all posts |Read mode
Dua zuriat dilahirkan secara IVF

Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi - April 24, 2025 @ 11:50am





Asyura bersama Suami, Naveed Khan dan dua anaknya pada Majlis Meraikan 1,100 Bayi IVF Sunway Fertility Centre di Pusat Perubatan Sunway, Subang, baru-baru ini. - Foto NSTP/Ahmad Ukasyah



DUA kali gagal mendapatkan zuriat yang diimpikan apabila menjalani prosedur persenyawaan in vitro (IVF) atau bayi tabung uji membuatkan seorang wanita mula kecewa dan putus asa.

Bagaimanapun, selepas dipujuk doktor yang menjalankan prosedur berkenaan, Asyura Salleh, 36, akhirnya akur menjalani prosedur buat kali ketiga pada 2022.

Asyura berasal dari Brunei berkata, dia tidak lagi meletakkan harapan tinggi dalam prosedur itu kerana bimbang masih gagal.

"Bagaimanapun, dua minggu selepas prosedur, doktor mengesahkan saya mengandung, namun saya pula yang tidak percaya ketika itu.

"Saya bersyukur, perjalanan kehamilan saya berjalan dengan baik tanpa sebarang masalah dan selamat melahirkan anak pertama, Hawa Rani Khan Naveed Khan yang kini berusia dua tahun," katanya kepada BH.

Beliau ditemui pada Majlis Meraikan 1,100 Bayi IVF Sunway Fertility Centre (SFC) di Pusat Perubatan Sunway di sini, baru-baru ini.

Ditanya mengapa menjalani IVF, Asyura berkata, ketika menjalani IVF pertama pada 2020, dia sudah empat tahun berkahwin dan belum dikurniakan anak.

Katanya, sebelum itu dia dan suami, Naveed Khan, 39, merancang untuk mempunyai anak selepas tamat pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) pada 2019.

"Bagaimanapun selepas mendapat PhD, kami belum dikurniakan anak, lalu membuat keputusan untuk membuat pemeriksaan.

"Doktor sahkan kami tiada sebarang masalah dan mengesyorkan menjalani prosedur Intrauterine Insemination (IUI) atau permanian beradas.

"Prosedur itu bagaimanapun, gagal dan doktor sarankan kami terus menjalani IVF," katanya.

Hasilkan lapan embrio
Asyura yang bertugas sebagai pegawai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Kuala Lumpur sudah lapan tahun menetap di ibu negara berkata, dia dan suami bersetuju menjalani prosedur itu dan berjaya menghasilkan sebanyak lapan embrio.

Katanya, pada tahun lalu dia menjalani sekali lagi IVF untuk mendapatkan anak kedua dan bersyukur kerana berjaya mendapatkan cahaya mata kedua, Khyar Khan yang kini berusia tiga bulan.

"Saya bersyukur dengan kehadiran dua anak menerusi IVF dan jika ada rezeki akan jalani lagi IVF untuk mendapatkan anak ketiga pula kerana masih ada baki empat lagi embrio yang dibekukan.

"Kepada wanita yang masih berusaha mendapatkan cahaya mata, jangan putus asa dan banyakkan bersabar kerana jika sudah sampai masa, memang Allah akan berikan apa yang kita mahukan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Fertility Centre (SFC), Woon Ming Ming, berkata pusat itu yang ditubuhkan sejak 2015 dan kini berjaya melahirkan seramai 1,100 bayi IVF.



Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Fertility Centre (SFC), Woon Ming Ming. - Foto NSTP/Ahmad Ukasyah

"Kami percaya betapa penting dalam meningkatkan kesedaran mengenai ketidaksuburan yang menjadi antara isu umum di Malaysia.

"Setiap pasangan berbeza dan tiada pendekatan yang sama untuk semua dalam merealisasikan impian mereka menjadi kenyataan.

"Lebih penting, kami menggalakkan pasangan mendapatkan rawatan awal dan jangan berputus asa," katanya.

Tidak putus asa berusaha dapatkan zuriat
Dalam pada itu, hamil pada usia 40-an sememangnya satu cabaran besar kerana membawa risiko dan cabaran tersendiri yang perlu difahami.

Dibelenggu faktor usia itu jugalah yang membuatkan Umaimah Husni, 40, dari Cyberjaya, nekad menjalani IVF dan kini dikurniakan cahaya mata pertama, Maryam Akramova Zohid yang sudah berusia setahun.

Kakitangan awam itu berkata, ketika usia perkahwinan empat tahun, dia sedikit risau kerana belum dikurniakan anak, tambahan keluarga suami, Zohid Akramov, 34, dari Uzbekistan sangat mahukan cucu.



Umaimah dan suami, Akramov bersama anak mereka Maryam akramova. - Foto NSTP/Ahmad Ukasyah

"Kami kemudian menjalani pemeriksaan dan disahkan tiada masalah, namun disarankan menjalani IVF kerana faktor usia saya dan kami terus bersetuju.

"IVF pertama kami adalah pada 2022, namun malangnya gagal dan saya tidak berputus asa dan cuba jalani prosedur itu buat kali kedua pada 2023," katanya.

Katanya, dua minggu selepas menjalani prosedur itu, dia kemudian membuat sendiri ujian kehamilan (UPT) dan mendapat keputusan yang samar.

Umaimah berkata, walaupun berdebar dengan keputusan itu dia tidak berani meletakkan harapan yang tinggi kerana bimbang masih gagal.

"Bagaimanapun, hasil pemeriksaan doktor sahkan saya mengandung buat kali pertama dalam hidup.

"Saya sangat gembira dan syukur juga sepanjang tempoh kehamilan saya tiada sebarang alahan atau masalah lain kecuali kurang berselera makan," katanya.

Umaimah berkata, dengan usianya memasuki 40 tahun, dia tidak digalakkan menjalani IVF selepas ini kerana faktor usia.

Namun katanya, dalam hatinya terselit harapan agar berpeluang mengandung secara semula jadi selepas ini.

https://www.bharian.com.my/gaya-hidup/wanita/2025/04/1388269/dua-zuriat-dilahirkan-secara-ivf







Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

11-2-2026 12:26 PM GMT+8 , Processed in 0.362075 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list