Pada era digital masa kini, kehidupan seharian dipenuhi dengan rangsangan berterusan daripada media sosial, aplikasi telefon pintar dan pelbagai pemberitahuan (notification) tidak henti-henti.
Keadaan ini melahirkan satu fenomena dikenali sebagai 'minda bertih' (Popcorn Brain), situasi yang mana otak manusia menjadi terlalu terangsang hingga sukar fokus terhadap sesuatu tugasan.
Seperti bertih jagung meletup dalam kuali, otak juga sentiasa 'meletup' dengan maklumat baharu, menjadikannya susah memberi perhatian secara mendalam dan berpanjangan.
Fenomena ini bukan terjadi secara tiba-tiba, tetapi impak daripada tabiat penggunaan teknologi digital atau media sosial berlebihan dan tidak terkawal.
Pemberitahuan berterusan membuatkan individu sering terganggu dan menyebabkan ketagihan terhadap maklumat segera. Akibatnya, otak menjadi terbiasa dengan rangsangan pantas dan sukar untuk fokus kepada tugas memerlukan ketekunan atau tumpuan.
Satu lagi faktor kesan 'minda bertih' adalah tabiat menukar antara aplikasi dan tugasan dengan kerap. Walaupun ramai beranggapan mereka lebih produktif dengan melakukan banyak tugas serentak, hakikatnya ia menurunkan kecekapan otak dan menyebabkan keletihan mental.
Selain itu, pendedahan berpanjangan kepada kandungan digital seperti video pendek di TikTok dan Instagram Reels melatih otak mencari kepuasan segera, menjadikan bacaan atau tugasan panjang tampak membosankan.
Kesan negatif daripada 'minda bertih' amat ketara dalam aspek akademik, pekerjaan dan kesejahteraan mental terutama golonan pelajar.
Antara kesannya termasuk kesukaran untuk membaca atau menyelesaikan tugas yang memerlukan fokus tinggi serta keletihan kognitif apabila otak tidak mendapat rehat mencukupi.
Individu juga mungkin berasa gelisah tanpa hiburan digital dan sukar menyelesaikan tugas yang memerlukan kesabaran, menjadikan mereka cepat bosan kepada sesuatu pekerjaan yang perlu mengambil masa.
Namun, fenomena ini boleh dikawal dengan beberapa langkah praktikal, antaranya ialah mengurangkan masa menatap skrin dan menetapkan had penggunaan media sosial.
Penggunaan aplikasi pemantauan boleh membantu individu sedar akan tabiat digital mereka, sekali gus mengurangkannya secara berperingkat.
Seterusnya, amalan kerja fokus perlu menjadi keutamaan kerana seseorang akan dapat meluangkan masa tanpa gangguan untuk menyiapkan tugasan penting.
Teknik seperti kaedah Pomodoro iaitu 'bekerja selama 25 minit dan berehat selama lima minit' turut berkesan dalam meningkatkan keupayaan fokus.
Di samping itu, membiasakan diri dengan bacaan panjang, menulis jurnal atau menyelesaikan teka-teki boleh melatih otak bertahan dalam tugasan kompleks.
Apa yang penting, manusia perlu meluangkan masa tanpa teknologi seperti bersenam atau berjalan di taman bagi membantu mengurangkan tekanan dan meningkatkan fungsi kognitif.
Akhir sekali, penting untuk individu menumpukan kepada satu tugasan pada satu masa dan mengelak kebiasaan menukar tugasan secara berterusan. Ini bukan sahaja meningkatkan kualiti kerja, malah mengurangkan tekanan mental yang tidak disedari.
Secara keseluruhannya, minda bertih mencerminkan cabaran moden dalam mengekalkan tumpuan dan keseimbangan hidup dalam dunia sentiasa terhubung.
Dengan kesedaran dan usaha berterusan, kita boleh melatih semula otak untuk lebih fokus dan sihat dari segi mental serta emosi. Menjaga kesihatan mental pada era digital adalah satu keperluan, bukan lagi pilihan.
Ketua Penyelidik, Pusat Kepintaran dan Sistem Automatik (CIAS), Jabatan Kejuruteraan Perisian, Fakulti Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) - BH ONLINE
|