Mexico sebuah negara yang terletak di benua Amerika Utara, dan yang ketiga terbesar di Amerika Latin. Negara ini juga ‘terkenal’ dengan pelbagai jenayahnya, malah banyak bandar-bandarnya disenaraikan antara bandar paling berbahaya di dunia.
Dalam sejarah jenayah di Mexico, salah satu kisah penjenayah yang popular ialah Gonzales Sisters. Jika jenayah lazimnya dilakukan lelaki, tetapi ini dilakukan oleh empat adik beradik wanita yang digelar ‘The Gonzales Valenzuela Sisters’.
Empat beradik itu iaitu Maria Delfina, Maria Carmen, Maria Luisa dan Maria de Jesus yang berasal dari El Salto di Jalisco. Mereka dibesarkan dalam keluarga yang miskin. Ibu mereka, Benardina seorang penganut tegar Kristian yang sering memaksa anak-anaknya untuk menjadi penganut yang alim.
Manakala bapa mereka, Isidro Torres merupakan seorang pegawai polis yang kaki botol dan panas baran. Bahkan, dengan anak-anaknya sendiri juga dia menggunakan kekerasan.
Selepas bapa mereka hilang dengan melarikan diri bersama isterinya setelah menembak mati seorang lelaki dalam satu pergaduhan pada tahun 1930-an, tinggallah keempat-empat beradik ini meneruskan kehidupan.
Untuk mengubah nasib mereka yang miskin, keempat beradik ini membuka sebuah bar di kawasan tempat tinggal mereka. Namun, perniagaan itu kurang mendapat sambutan.
Bermulanya Penglibatan Jenayah
Untuk mendapatkan keuntungan, Delfina telah memberi idea agar bar mereka turut menawarkan khidmat seks kepada pelanggan yang datang minum ke situ. Apabila dilakukan, ternyata cadangan Delfina itu berkesan. Kehadiran pelacur telah melonjakkan keuntungan perniagaan mereka.
Perniagaan bar mereka kian maju dengan diuruskan oleh keempat-empat adik beradik ini. Masing-masing ada tugas tersendiri. Carmen akan menguruskan berkaitan pakaian dan merekodkan segala hutang pekerjanya.
Delfina pula menjaga segala berkaitan pekerja seks mereka. Luisa menguruskan soal kutipan bayaran daripada pelanggan dan yang bongsu, Maria de Jesus berperanan dalam menguruskan bahagian makanan.
Ternyata khidmat seks telah menjadikan perniagaan mereka semakin maju sehingga mereka mampu membuka beberapa buah cawangan bar di lain tempat pula.
Tiada siapa yang berani mengganggu perniagaan adik beradik ini yang digelar Gonzales Sisters kerana sejak awal, mereka telah merasuah pihak berkuasa yang kebanyakannya juga adalah pelanggan di kelab mereka.
Bagi mendapatkan gadis-gadis muda untuk dilacurkan, mereka mencari gadis-gadis di kawasan pedalaman dengan menjanjikan pekerjaan sebagai pembantu rumah atau pelayan restoran. Namun, gadis-gadis mentah itu ditipu.
Tidak cukup dengan memberikan janji palsu, mereka turut mendalangi penculikan gadis seawal usia 12 tahun untuk dijadikan pelacur di kelab mereka.
Sudahlah dipaksa melacur, gadis-gadis ini terpaksa pula berhutang untuk makanan dan pakaian mereka. Hutang itu pula perlu dibayar dengan berkhidmat sebagai pelacur. Ini adalah salah satu cara untuk mengikat mereka agar tidak terlepas.
Nasib gadis-gadis ini bertambah malang dengan layanan buruk yang diterima mereka. Dadah disuntik secara paksa agar mereka menjadi ketagih. Dengan cara ini, mereka akan patuh segala arahan untuk mendapatkan bekalan dadah.
Ratusan gadis dibunuh
Bukan hanya bertindak kejam dengan menculik dan melacurkan ramai gadis, Gonzales Sisters juga tidak berhati perut apabila sanggup membunuh gadis-gadis yang dirasakan sudah tidak mampu memberi khidmat buat perniagaan mereka.
Mana gadis yang cuba melarikan diri akan dibunuh jika tidak mahu mengikut kata. Mana yang mengandung pula akan dipaksa menggugurkan janin tersebut sehingga ada yang terkorban nyawa.
Pelacur yang sudah berusia 25 tahun ke atas dan sudah kurang menarik perhatian pelanggan akan diseksa atau dibiarkan kebulur sehingga mati.
Bukan hanya menyiksa pelacur dalam tahanan mereka, bahkan adik beradik ini juga sanggup membunuh pelanggan kaya dengan merompak wang mereka.
Akhirnya Jatuh Ke Tanah
Selama hampir 30 tahun Gonzales Sisters beraja dalam dunia pelacuran dan melakukan jenayah sewenang-wenangnya, akhirnya mereka tumpas juga pada tahun 1964 setelah seorang pelacur berjaya meloloskan diri dan membuat laporan polis.
Atas laporan itu, polis melakukan serbuan ke atas beberapa lokasi perniagaan Gonzales Sisters dan telah menemui puluhan gadis dalam keadaan menyedihkan. Kebanyakannya kekurangan zat makanan dan tubuh mereka dipenuhi kesan siksaan.
Siasatan turut menemui lebih 90 mayat wanita, lelaki dan bayi di tempat kurungan pelacur. Turut ditemui puluhan lagi rangka manusia yang tidak dapat dikenal pasti identitinya. Ada yang mengatakan, ada ratusan lagi pembunuhan telah didalangi adik beradik ini, namun buktinya masih tidak dapat ditemui.
Adik beradik Gonzales ini dibawa ke muka pengadilan dan dibicarakan. Mereka dijatuhi hukuman penjara selama 40 tahun. Carmen dan Delfina meninggal dunia sewaktu masih di dalam penjara. Manakala dua lagi adik mereka terus menghilangkan diri setelah dibebaskan dari penjara. Dikatakan Maria de Jesus sudah menjadi seorang penganut Kristian yang alim. Luisa pula ada yang mengatakan telah dimasukkan ke hospital mental.
Kisah empat beradik ini menjadi inspirasi kepada filem Las Poquianchis yang diterbitkan pada tahun 1976, dan novel Las Muertas pada tahun 1977. - UTUSAN TV
|