MENYUSURI ratusan anak tangga curam dan licin ketika menuruni kanyon di lereng Gunung Semeru di Jawa Timur, Indonesia pasti membuatkan lutut anda longlai, kaki terketar-ketar dan nafas mencungap.
Namun segala penat lelah pasti hilang tiba-tiba sebaik keindahan air terjun dengan ketinggian mencecah 120 meter tersergam indah depan mata.
Tidak hairanlah ramai sanggup meredah pengalaman sukar menawan lebih 1,250 anak tangga di sepanjang laluan turun dan naik kawah kanyon, semata-mata mengejar keindahan Tumpak Sewu yang terletak antara daerah Pronojiwo di Lumajang dan Ampelgading di Malang.
Tumpak Sewu atau juga dikenali Coban Sewu membawa maksud 'seribu air terjun' - terjemahan kepada panorama indah deretan air terjun yang kelihatan ibarat tirai putih besar dan lebar melatari dinding kanyon, dengan berlatar belakang Semeru, satu daripada gunung berapi aktif di tanah Jawa.
Saya sendiri berpeluang ke Tumpak Sewu, antara lokasi pilihan ketika berkunjung bersama keluarga ke Jawa Timur. Sejujurnya, kami berbelah bahagi untuk ke sini disebabkan ulasan serta komen mengenai tahap kesukaran perlu dilalui, apatah lagi kumpulan kami disertai kanak-kanak kecil.
Namun kami buat pilihan tepat, meskipun perjalanan menyusuri kanyon sedikit perlahan disebabkan kerap berhenti untuk merehatkan kaki dan menyusun nafas.
Malah, keindahan 'seribu air terjun' mengubat kekecewaan besar kami selepas gagal menyaksikan panorama 'awan karpet' yang menyelimuti dataran pergunungan Bromo sehari sebelum itu disebabkan faktor kabus tebal akibat hujan.
Hamparan air terjun
Perjalanan ke Tumpak Sewu mengambil masa kira-kira dua jam dari kota Malang. Bagi mengelak kepenatan akibat perjalanan jauh, kami memilih menginap di Pronojiwo, dengan chalet kira-kira 500 meter sahaja dari pintu masuk Tumpak Sewu.
Ditemani dua pemandu arah, perjalanan bermula seawal 8 pagi, dengan tiket masuk serendah Rp10,000 atau kurang RM3 seorang.
Lokasi pertama lokasi tinjau, tidak jauh dari pintu masuk. Di sini panorama hamparan air terjun menghiasi kanyon betul-betul tersergam di tengah kehijauan flora. Panorama dari udara menggunakan dron lebih menarik, dengan pemandangan keseluruhan air terjun dilatari Semeru.
Tak perlu terlalu lama di sini kerana 'syurga' sebenar menanti hampir sejam perjalanan menyusuri lebih 500 anak tangga yang curam dan licin. Usaha bimbang, laluannya selamat jika berhati-hati.
Meskipun kaki tersangat penat, anda tidak akan mahu berehat walau seminit sebaik 'seribu air terjun' di depan mata. Manfaatkan peluang ini untuk rakam 1,001 kenangan kerana terlalu banyak 'spot ootd' menarik menanti.
Pastikan kelengkapan anda selamat dalam beg kalis air kerana percikan air terjun akan membuatkan anda basah keseluruhan.
Selain Tumpak Sewu, anda juga wajib mengunjungi Gua Tetes kira-kira 10 minit perjalanan dari tapak air terjun itu. Uniknya di sini, panorama komposisi stalagmit dan stalagtit menghiasi langit-langit gua berwarna coklat kekuningan yang cukup indah untuk dirakam.
Jangan lepaskan peluang berendam dalam kesejukan air gunung di sini. Ia akan mengembalikan kesegaran, sebelum memulakan perjalanan mendaki untuk pulang.
Meskipun perjalanan pulang lebih penat, tak perlu risau ada hentian disediakan untuk meredakan kepenatan. Boleh juga cuba gorengan di gerai, selain membeli minuman untuk membasahkan tekak.
Gunung berapi aktif
Secara keseluruhan kami habiskan masa kira-kira empat jam di Tumpak Sewu, namun memori yang kami simpan berkekalan jauh lebih lama, termasuk sengsara otot kejang akibat mendaki.
Jawa Timur mula mendapatkan perhatian ramai disebabkan keunikan tarikan panorama berserta pengalaman menarik tersedia. Selain Tumpak Sewu, Bromo yang menjanjikan pemandangan sekitar gunung berapi aktif dengan ketinggian 2,329 meter dalam empat wilayah iaitu Probolingo, Pasuruan, Lumajang dan Malang antara lokasi wajib dikunjungi.
Namun bagi yang ingin ke sini, dinasihatkan pilih waktu paling sesuai antara Jun hingga Ogos untuk mengelak risiko kecewa apabila cuaca hujan menyebabkan pemandangan menarik dilitupi kabus tebal.
Bak kata 'Pak Supir' kami, kalau datang antara Disember hingga Mac yang selalunya akan kerap hujan, semuanya tergantung nasib. - BH Online
|