BEGUK adalah jangkitan virus yang sangat mudah berjangkit. Penyakit ini biasanya menjangkiti kanak-kanak kerana ia mudah dijangkiti dan merebak menerusi titisan daripada mulut, hidung dan tekak.
Bagaimanapun, beguk masih penyakit biasa di banyak negara termasuk Malaysia.
Pakar Perunding Telinga, Hidung Tekak dan Surgeri Kepala dan Leher, Hospital Pantai Manjung, Perak, Dr Vigneswaran Kumarasam, berkata beguk paling kerap menjejaskan kanak-kanak berumur antara dua hingga 12 tahun yang belum menerima vaksin beguk.
Katanya, namun remaja dan dewasa masih boleh mendapat beguk walaupun sudah divaksinasi.
"Kebanyakan kes beguk berlaku pada remaja yang tidak menerima vaksin MMR (measles-mumps-rubella) sebagai sebahagian daripada jadual vaksinasi zaman kanak-kanak mereka dan tidak mendapat beguk ketika kecil.
"Bagi orang dewasa yang dilahirkan sebelum vaksin diperkenalkan, juga berkemungkinan kecil mendapat beguk," katanya.
Menurutnya lagi, walaupun beguk biasanya penyakit ringan, ia boleh menyebabkan komplikasi serius.
"Pada kanak-kanak, beguk biasanya penyakit ringan. Namun, bagi orang dewasa mungkin mempunyai penyakit yang lebih serius dan banyak lagi komplikasi," katanya.
Komplikasi ini mungkin termasuk arthritis iaitu keradangan sendi, encephalitis (keradangan otak anak), meningitis (keradangan tisu yang menutupi otak dan saraf tunjang, oophoritis (keradangan ovari), orchitis (keradangan testis), pankreatitis (keradangan pankreas), tiroiditis (keradangan kelenjar tiroid) dan hilang deria pendengaran kekal.
"Beguk ketika hamil pula biasanya tidak berbahaya namun dalam kes terpencil boleh menyebabkan keguguran, kelahiran pramatang, berat lahir rendah, kecacatan kelahiran atau kematian janin," kata Dr Vigneswaran.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai penyakit beguk, beliau berkata ia penyakit berjangkit disebabkan virus beguk (mumps), yang tergolong dalam keluarga virus dikenali sebagai paramyxovirus dan menjejaskan kelenjar air liur.
"Apabila individu mendapat beguk, virus bergerak dari saluran pernafasan (hidung, mulut dan tekak) ke dalam kelenjar parotid (kelenjar penghasil air liur yang terdapat di kedua-dua belah muka), di mana ia mula membiak. Ini menyebabkan kelenjar membengkak.
"Virus ini juga boleh memasuki cecair serebrospinal individu (CSF), iaitu cecair yang mengelilingi dan melindungi otak dan tulang belakang anda.
"Apabila virus telah memasuki CSF, ia boleh merebak ke bahagian lain badan anda, seperti otak, pankreas, buah zakar (pada lelaki dan kanak-kanak lelaki) dan ovari (pada kanak-kanak perempuan dan wanita)," jelasnya.
Dr Vigneswaran berkata, gejala beguk biasanya berkembang 12 hingga 25 hari selepas dijangkiti virus beguk (kelewatan ini dikenali sebagai tempoh inkubasi). Tempoh inkubasi purata adalah sekitar 17 hari.
"Bengkak pada kelenjar parotid adalah gejala beguk yang paling biasa. Kelenjar parotid adalah sepasang kelenjar yang bertanggungjawab menghasilkan air liur. Kedua-dua kelenjar biasanya terjejas oleh bengkak, walaupun kadang-kadang hanya satu kelenjar terjejas.
"Bengkak boleh menyebabkan kesakitan dan kesukaran menelan. Gejala lebih umum sering berlaku beberapa hari sebelum kelenjar parotid membengkak.
"Ini termasuk sakit kepala dan sendi-sendi, kekeringan mulut, sakit perut yang ringan, rasa penat, hilang selera makan dan suhu badan yang tinggi," katanya.
Beliau turut menegaskan, beguk adalah penyakit boleh dicegah kerana keberkesanan vaksin beguk.
Katanya, vaksin untuk beguk biasanya diberikan sebagai sebahagian daripada vaksin gabungan yang melindungi daripada campak, beguk dan rubella.
"Kanak-kanak biasanya menerima dua dos vaksin MMR sebagai sebahagian daripada jadual imunisasi kanak-kanak. Mereka menerima dos pertama pada umur sembilan bulan manakala dos kedua pada umur 12 bulan, " katanya.
Dr Vigneswaran turut menjelaskan, kaedah rawatan menyapu nila adalah tidak betul dan tidak memberi apa-apa kesan kepada seseorang yang menghidap penyakit beguk.
"Ada mendakwa, beguk disebabkan oleh kekurangan iodin dan menyapu nila akan membantu menyelesaikan masalah itu. Sebenarnya, tak ada kaitan iodin dengan beguk dan nila pula tidak mengandungi iodin," katanya.
Beliau berkata, kebanyakan individu yang menghidap beguk akan terlindung daripada terkena beguk lagi.
Bagaimanapun, terdapat peratusan kecil individu yang boleh dijangkiti semula namun mendapat penyakit lebih ringan.
Jika individu dewasa didapati menghidap beguk, Dr Vigneswaran menyarankan individu terbabit mengambil cuti bekerja selama lima hari selepas kelenjar mula membengkak.
Bagi kanak-kanak pula harus tinggal di luar sekolah sehingga gejala berkurangan.
"Kedua-dua orang dewasa dan kanak-kanak yang mengalami gejala beguk juga harus mengurangkan hubungan dengan orang lain yang tinggal di rumah mereka.
"Pada masa sama, amalan asas kebersihan yang baik juga penting dalam kawalan penyakit. Ini termasuk mencuci tangan secara menyeluruh, menutup mulut apabila bersin atau batuk, dan kerap membersihkan permukaan yang sering disentuh.
"Ini kerana beguk merebak dengan cara yang sama seperti selsema iaitu melalui titisan air liur yang dijangkiti yang boleh dihidu atau diambil dari permukaan dan dipindahkan ke dalam mulut atau hidung," katanya.
Mengenai beguk menjejaskan kesuburan, beliau berkata kurang separuh daripada semua lelaki yang mendapat orkitis berkaitan beguk menyedari sedikit pengecutan buah zakar mereka.
Dianggarkan satu dalam 10 lelaki mengalami penurunan dalam kiraan sperma mereka (jumlah sperma sihat yang boleh dihasilkan oleh badan mereka).
Bagaimanapun, katanya ini sangat jarang menyebabkan kemandulan.
INFO:
Rawatan untuk beguk
• Rawatan untuk beguk tertumpu kepada melegakan simptom sehingga sistem imun badan melawan jangkitan. Jangkitan biasanya berlalu dalam masa satu atau dua minggu.
• Pada masa sama, langkah-langkah di bawah mungkin membantu;
• Dapatkan rehat yang banyak sehingga gejala hilang.
• Ambil ubat penahan sakit, seperti ibuprofen atau paracetamol, untuk melegakan sebarang kesakitan.
• Minum banyak cecair, tetapi elakkan minuman berasid seperti jus buah kerana ini boleh merengsakan kelenjar parotid.
• Tuam dengan tuala hangat atau sejuk pada kelenjar bengkak untuk membantu mengurangkan sebarang kesakitan.
• Makan makanan yang tidak memerlukan banyak mengunyah, seperti sup dan bubur.
|