Edited by tatod at 7-4-2025 12:45 PM
JANGKITAN kongenital Cytomegalovirus (CMV) adalah jangkitan ketika di dalam waktu kandungan (kongenital) yang paling kerap di seluruh dunia.
Jangkitan CMV boleh menyebabkan komplikasi serius kepada bayi, termasuk masalah pendengaran, gangguan perkembangan saraf dan upaya, serta kecacatan penglihatan.
Pakar Penyakit Berjangkit Paediatrik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Asrar Abu Bakar, berkata walaupun beban penyakit ini tinggi, kesedaran mengenai penyakit ini dalam kalangan masyarakat di Malaysia masih rendah.
Menurutnya, CMV adalah virus dari keluarga herpes yang boleh menjangkiti sesiapa sahaja.
Kebanyakan individu dewasa mahupun kanak-kanak yang sihat tidak menunjukkan sebarang gejala apabila dijangkiti, tetapi bagi bayi yang dijangkiti, ia boleh memberi kesan serius.
"Jangkitan ini boleh berlaku apabila seorang ibu hamil yang belum pernah dijangkiti virus CMV mendapat jangkitan ketika hamil seterusnya menjangkiti bayi di dalam kandungan.
"Bayi yang dijangkiti dinamakan jangkitan kongenital CMV (cCMV), " jelasnya.
Menurut Dr Asrar, kajian mendapati kadar seroprevalen (kewujudan antibodi terhadap CMV) dalam kalangan wanita hamil di Malaysia adalah tinggi, iaitu antara 70 peratus hingga 85 peratus, menandakan virus ini agak tular dalam kalangan masyarakat secara tidak disedari.
Katanya, bagaimanapun disebabkan tiada program saringan rutin bagi cCMV, jumlah sebenar bayi yang dijangkiti tidak diketahui dengan tepat.
"Ini kerana tidak semua bayi akan dijangkiti dari ibu yang positif untuk CMV malah kebanyakan bayi yang dijangkiti tidak bergejala atau hanya mempunyai gejala ringan tanpa sebarang komplikasi lanjut.
"Namun begitu, segelintir bayi masih berisiko mengalami komplikasi kemudian, terutamanya kehilangan pendengaran yang progresif," katanya.
Dr Asrar berkata, dalam kes lebih serius, jangkitan ini boleh menyebabkan kecacatan kekal serta kelewatan perkembangan kognitif dan pergerakan.
Katanya, sesetengah kajian turut menunjukkan hubungan jangkitan cCMV dengan masalah autisme dan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD).
Kaedah diagnostik dan rawatan
Dr Asrar berkata, di Malaysia, ujian untuk mengesan CMV masih terhad kerana ketiadaan saringan universal bagi bayi baru lahir.
"Pengesanan cCMV dilakukan melalui ujian PCR (Polymerase Chain Reaction) ke atas air liur, air kencing atau darah bayi sebaiknya dalam tempoh tiga minggu pertama selepas kelahiran.
"Jika dikesan lebih lewat, kemungkinan jangkitan itu diperoleh selepas lahir dan bukan ketika kehamilan seperti mana cCMV.
"Ini penting kerana jangkitan yang berlaku selepas kelahiran kebiasaannya tidak merbahaya. Namun, akses kepada ujian PCR sangat terhad dan hanya dilakukan di makmal lebih canggih dan lengkap," katanya.
Mengenai rawatan utama, beliau berkata bagi bayi yang menunjukkan gejala adalah dengan ubat antiviral yang boleh membantu mengurangkan kesan negatif virus pada sistem saraf dan perkembangan pendengaran bayi.
"Namun, rawatan ini tidak digunakan secara meluas kerana akses yang terhad serta kos agak tinggi," katanya.
Menurut Dr Asdar lagi, negara seperti Amerika Syarikat dan Kanada sudah melaksanakan saringan bayi baru lahir untuk cCMV, terutamanya bagi bayi yang gagal ujian pendengaran awal.
"Malaysia masih belum mempunyai saringan sedemikian, walaupun pendekatan ini dapat membantu mengenal pasti bayi yang berisiko mengalami kehilangan pendengaran progresif.
"Selain itu, kesedaran dalam kalangan masyarakat masih rendah. Langkah-langkah kesedaran, termasuk pendidikan kepada ibu hamil mengenai cara pencegahan seperti menjaga kebersihan tangan dan mengelakkan perkongsian makanan dengan anak kecil yang lain, boleh mengurangkan risiko jangkitan," katanya.
Dr Asdar berkata, penyelidikan sedang dijalankan untuk membangunkan vaksin CMV bagi mencegah jangkitan dalam kalangan wanita hamil,seterusnya menjadi kaedah paling berkesan untuk mengurangkan risiko jangkitan kepada bayi.
Selain itu, katanya terdapat usaha memperkenalkan ujian saringan yang lebih murah dan pantas bagi bayi baru lahir melalui nanobiosensor untuk meningkatkan kadar pengesanan awal tetapi teknologi ini masih sedang dibangunkan.
- Ia adalah ancaman senyap kepada kesihatan bayi baru lahir di Malaysia.
- Tanpa saringan berkesan dan kesedaran tinggi, ramai bayi berisiko mengalami komplikasi jangka panjang tanpa rawatan awal.
- Langkah segera seperti meningkatkan kesedaran masyarakat, memperkenalkan saringan bayi baru lahir, dan meneroka kaedah rawatan lebih berkesan perlu diambil untuk mengurangkan kesan penyakit ini kepada masyarakat.
- Dengan meningkatkan kesedaran dan memperkukuh langkah pencegahan, ia dapat memastikan masa depan lebih cerah bagi bayi yang terdedah kepada jangkitan ini.
Bayi mengalami gejala CMV mungkin lahir dengan masalah dan gejala seperti:
- Jaundis atau kuning yang berpanjangan.
- Gangguan saraf seperti sawan.
- Masalah pendengaran dan penglihatan. - BH Online |