|
|
KUALA LUMPUR: Harga emas meningkat pada Selasa berikutan ketidaktentuan berterusan mengenai tarif 'balas dendam' Amerika Syarikat (AS) dan kesannya terhadap ekonomi global.
Setakat 0928 GMT, emas spot naik 0.3 peratus kepada AS$3,021.24 seauns atau RM430.312 segram, manakala niaga hadapan emas AS mengukuh 0.3 peratus kepada AS$3,025.
Harga emas spot sebelum ini mencatatkan paras tertinggi baharu AS$3,057.21 pada 20 Mac.
Presiden AS, Donald Trump, berkata tidak semua tarif yang diancamnya akan dikuatkuasakan pada 2 April, dengan beberapa negara mungkin mendapat pengecualian. Pasaran menjangkakan tarif yang dicadangkan itu akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi.
"Peluang pemotongan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) dalam masa terdekat serta kebimbangan mengenai kelembapan ekonomi terus menyokong kenaikan harga emas," kata penganalisis kanan ActivTrades, Ricardo Evangelista.
"Saya menjangkakan harga emas akan kekal kukuh di atas paras psikologi utama AS$3,000, dengan pedagang berkemungkinan melihat sebarang penurunan sebagai peluang membeli. Namun, kenaikan mungkin terhad sekiranya sentimen risiko meningkat semula, mewujudkan rintangan kuat sekitar paras tertinggi AS$3,056 minggu lalu," katanya.
Pelabur kini menantikan data Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) AS yang dijadualkan pada Jumaat, iaitu ukuran inflasi pilihan Fed, untuk mendapatkan petunjuk mengenai langkah dasar selanjutnya. Minggu lalu, Fed mengekalkan kadar faedah penanda arasnya, tetapi memberi isyarat bahawa pemotongan sebanyak suku mata peratusan mungkin dilakukan tahun ini.
Emas, yang sering menjadi lindung nilai terhadap ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi, cenderung mendapat permintaan tinggi dalam persekitaran kadar faedah rendah kerana ia tidak memberikan pulangan faedah.
Dari segi geopolitik, delegasi Ukraine dan AS dijangka bertemu di Arab Saudi pada Selasa susulan rundingan antara AS dan Rusia sehari sebelumnya mengenai cadangan gencatan senjata terhad di Laut Hitam yang diharapkan Washington dapat membuka jalan kepada rundingan damai lebih luas.
Sementara itu, harga perak spot meningkat 0.8 peratus kepada AS$33.24 seauns, platinum naik 0.6 peratus kepada AS$978.60, manakala paladium menokok 0.3 peratus kepada AS$953.75.— REUTERS
Sumber: BH Online
|
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
|