Hari Polis ke-218: PDRM kekal teguh menjaga kedaulatan negara
Oleh Nor Azizah Mokhtar - Mac 25, 2025 @ 7:35am [email protected]

Foto ihsan FB PDRM.
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjangkau usia 218 tahun, terus komited dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman negara terpelihara meskipun berdepan pelbagai cabaran global dan tempatan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata PDRM akan terus meningkatkan profesionalisme serta memperkukuh kolaborasi bersama masyarakat dan agensi lain bagi memastikan keberkesanan tugas kepolisan.
Katanya, berpegang teguh pada prinsip 'striving for excellence' (berusaha untuk kecemerlangan), PDRM memainkan peranan penting dalam mengekalkan kestabilan dan keharmonian masyarakat, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi Malaysia.
"Ikrar yang dilafazkan oleh setiap anggota PDRM bukan sekadar janji, tetapi satu amanah besar dalam menjunjung taat setia kepada Raja, Negara dan kerajaan yang memerintah.
"Integriti dan komitmen tinggi menjadi teras utama dalam memastikan kepercayaan masyarakat terhadap pasukan ini terus utuh," katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Polis ke-218, yang dimuat naik di Facebook rasmi PDRM, malam tadi.
Bertepatan dengan rukun Kemampanan Dasar Malaysia Madani, beliau berkata, tema 'Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada' terus menjadi asas utama dalam usaha memperkukuhkan hubungan dua hala antara PDRM dan rakyat.
"Pendekatan strategi 'Associated & Integrated' (A.I) turut ditekankan dalam memperluas jalinan kerjasama bukan sahaja dalam kalangan agensi kerajaan tetapi juga sektor swasta serta pemain industri tempatan dan antarabangsa.
"Dalam usaha memperkukuh integriti dan akauntabiliti pasukan, PDRM akan terus membudayakan nilai-nilai 'Mesra, Adil, Luhur, Amanah, Yakin, Setia, Islah, dan Arif' (M.A.L.A.Y.S.I.A.), selaras dengan aspirasi Reformasi Perkhidmatan Awam yang digariskan oleh kerajaan," katanya.
Razarudin turut menyatakan penghargaan kepada kerajaan, pasukan keselamatan sahabat, rakan media dan seluruh rakyat Malaysia atas sokongan serta kepercayaan yang diberikan kepada PDRM selama ini.
"Buat seluruh warga Sang Saka Biru, bersamalah kita pasakkan tekad untuk meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan dengan pengukuhan dan pembudayaan nilai integriti yang tinggi, mensyukuri nikmat serta kurniaan dengan kesederhanaan, juga ihsan demi kemaslahatan agama, bangsa dan nusa tercinta.
"Bulatkan iltizam, tingkatkan kepercayaan masyarakat dan teruskan usaha memartabatkan PDRM sebagai pasukan sahabat utama rakyat serta gemilang di persada kepolisan antarabangsa," katanya.
Tambah beliau, sambutan Hari Polis ke-218 tahun ini bukan sekadar memperingati jasa dan pengorbanan warga PDRM, tetapi juga menjadi simbol komitmen berterusan dalam memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang aman, selamat dan berdaulat.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/03/1376560/hari-polis-ke-218-pdrm-kekal-teguh-menjaga-kedaulatan-negara
|