CariDotMy

 Forgot password?
 Register
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
View: 21900|Reply: 0

Obesiti bukan hanya berat badan, risiko buah pinggang rosak, anak muda ramai obes sebab pemakanan

[Copy link]
Post time 17-3-2025 10:24 PM | Show all posts |Read mode

MAKANAN ibarat nadi kehidupan untuk seluruh rakyat di Malaysia, daripada nasi lemak sehingga teh tarik lewat malam.

Namun, tanpa sedar krisis kesihatan semakin membelenggu budaya pemakanan itu.

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 melaporkan bahawa sebanyak 54.4 peratus rakyat Malaysia mengalami berat badan berlebihan atau obes, dengan lebih dua juta terjejas dengan penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes dan hipertensi.

Kajian itu juga menunjukkan bahawa obesiti meningkatkan risiko mendapat kadar penapisan gomerular (eGFR) rendah dan albuminuria yang merupakan ciri penyakit buah pinggang kronik.

Menurut Pendaftaran Dialisis dan Transplan Malaysia 2023, sebanyak 56 peratus daripada kes dialisis baharu di Malaysia berpunca daripada diabetes, diikuti oleh hipertensi sebanyak 30 peratus yang sekali gus membangkitkan kebimbangan kesihatan penyakit buah pinggang.


Prof. Dr. Wong Hin Seng, Pakar Perunding Nefrologi dan Pakar Perubatan Pemindahan Buah Pinggang di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC), Selangor, memberi amaran bahawa obesiti bukan sahaja mengundang diabetes atau tekanan darah tinggi, malah juga berisiko merosakkan buah pinggang walaupun tanpa kedua-dua penyakit tersebut.

"Buah pinggang umpama penapis semula jadi badan yang dapat membuang sisa dan cecair berlebihan, mengawal tekanan darah, dan mengimbangi elektrolit untuk memastikan semuanya berjalan lancar.

"Bagaimanapun, organ yang banyak bekerja keras ini boleh terjejas akibat berat badan berlebihan," jelasnya.


Undang kerosakan kekal

Risiko obesiti bukan sekadar diabetes dan hipertensi. Ia mampu merosakkan buah pinggang dengan senyap, dan memberi kesan yang teruk.

Dr. Hin Seng berkata, obesiti turut boleh membebankan buah pinggang akibat keradangan kronik, tekanan oksidatif, peningkatan tekanan darah dan penolakan insulin.

Kesan itu boleh menyebabkan kebocoran protein dalam air kencing yang menjadi tanda awal kerosakan buah pinggang.


"Obesiti boleh meningkatkan risiko penyakit buah pinggang kronik (CKD) dan mempercepatkanproses kegagalan fungsinya.

"Apabila buah pinggang menerima tekanan yang berterusan, risiko berlaku kegagalan adalah lebih cepat," tekannya.

Bagi mereka yang bergelut dengan obesiti, penyakit buah pinggang mungkin tidak dapat dikesan di peringkat awal.

"Apabila gejala ini muncul, misalnya bengkak atau keletihan, biasanya sudah terlambat untuk memperbaiki kerosakan," katanya.


Risiko golongan muda di Malaysia

Tambahnya, semakin ramai golongan muda di Malaysia menghidap penyakit kerosakan buah pinggang yang berkait dengan obesiti.

Kajian NHMS 2023 juga menunjukkan bahawa 84 peratus orang dewasa berumur 18 hingga 24 tahun tidak mengetahui bahawa mereka menghidap diabetes.

"Jika anda gemuk sejak zaman kanak-kanak atau semasa usia remaja, kesan negatif obesiti kepada buah pinggang boleh bermula sejak itu dan anda mungkin akan mengalami penyakit buah pinggang kronik apabila berumur lingkungan 30-an hingga 40 an," jelasnya.

Penyakit buah pinggang yang bermula sejak awal itu berisiko menjejaskan tahun-tahun paling produktif dalam kehidupan dan memberi tekanan ketara kepada keluarga, sistem penjagaan kesihatan serta negara.

Namun, dua daripada lima orang dewasa berumur 18 hingga 24 tahun tidak menjalani pemeriksaan kesihatan dalam tempoh 12 bulan terdahulu.

CKD lanjutan (peringkat 4 dan peringkat 5) juga sering membawa kepada komplikasi seperti aktiviti fizikal yang terhad, menjejaskan kesihatan mental seseorang, dan mengurangkan kualiti hidup.

"Hidup dengan buah pinggang yang rosak adalah cabaran harian.

"Ia bukan hanya untuk kelangsungan hidup, tetapi juga mengenai kehilangan upaya untuk menikmati kehidupan sepenuhnya," katanya.


Tabiat tidak sihat

Peningkatan kadar obesiti yang membimbangkan di Malaysia boleh dilihat pada perubahan besar dalam tabiat pemakanan dan pilihan gaya hidup hari ini.

Diet tradisional yang kaya dengan serat dan bahan bahan berkhasiat telah digantikan dengan makanan yang diproses dan minuman manis.

Perubahan itu juga selari dengan aktiviti fizikal yang berkurangan kerana ramai kanak-kanak dan orang dewasa kini mengamalkan gaya hidup yang tidak aktif.

Imbas beliau, kanak-kanak zaman dahulu lebih banyak bermain di luar seperti bola sepak, berbasikal, berlari-lari.

Namun kini, penggunaan skrin lebih menguasai hidup mereka.

Menurutnya, golongan dewasa juga kurang aktif dan menghabiskan masa berjam-jam di hadapan komputer atau televisyen.

"Budaya makan tidak mengira masa di Malaysia juga merupakan faktor penyumbang kepada isu ini.

"Makanan boleh didapati setiap masa di sini. Jika terasa untuk makan pada tengah malam, anda boleh mendapatkan makanan dengan mudah.

"Golongan muda yang bekerja dalam tempoh yang panjang pula lebih memilih cara mudah mendapatkan makanan berbanding nutrisi," ujarnya.


Cegah obesiti dan kerosakan buah pinggang

Tindakan awal terhadap obesiti boleh membantu mencegah penyakit buah pinggang dengan lebih awal dan lebih baik.

Katanya, tabiat pemakanan dan gaya hidup yang sihat perlu bermula lebih awal.

Keluarga juga perlu memberi tumpuan kepada diet seimbang dan menggalakkan anak-anak untuk kekal aktif sejak usia muda.

"Bagi golongan yang sudah mengalami obesiti, perubahan kecil dan konsisten boleh melindungi kesihatan buah pinggang mereka.

"Tukar makanan yang diproses dengan pilihan yang kaya dengan serat, kurangkan gula dan kekal aktif adalah penting," katanya.


Dr. Hin Seng juga menekankan pengurangan gula bukanlah penyelesaian yang boleh dilakukan dalam sekelip mata.

Selera anda perlu mengambil masa untuk diselaraskan, tetapi rasa untuk mengambil makanan atau minuman manis akan hilang secara perlahan-lahan.

Hubung kait antara obesiti dengan diabetes dan hipertensi memang diketahui umum, namun tidak kesannya terhadap aspek kesihatan buah pinggang yang lain.

Obesiti dikaitkan dengan peningkatan risiko batu karang dan peningkatan risiko mendapat pelbagai jenis kanser termasuk kanser buah pinggang.

Justeru, pemeriksaan kesihatan kerap adalah penting kerana fungsi buah pinggang dan ujian protein air kencing dapat mengesan masalah dengan lebih awal, terutama bagi mereka yang mempunyai berat badan berlebihan atau diabetes.

Dengan menangani obesiti dan mengutamakan kesihatan buah pinggang, beliau percaya rakyat Malaysia boleh membina masa depan yang lebih baik dan sihat.

"Obesiti bukan hanya mengenai berat badan, malah ia juga boleh mendatangkan kemudaratan kepada organ anda, terutamanya buah pinggang.

"Buah pinggang anda berfungsi selama 24 jam setiap hari dan sudah tiba masanya untuk kita memberi penjagaan dan perhatian yang sewajarnya kepada mereka," simpulnya.

Ditubuhkan pada 1999, SMC merupakan hospital kuaternari terbesar di Malaysia dengan lebih 60 kepakaran perubatan merangkumi 28 Pusat Kecemerlangan, termasuk Pusat Renal dan Dialisis serta Pusat Penjagaan Diabetes.

Dengan kapasiti 810 katil berlesen kini, SMC merancang untuk menambah kepada kira-kira 1,104 katil selepas blok keenamnya, Menara F, siap pada suku ketiga 2026.

SMC juga satu-satunya hospital swasta di Malaysia dengan tiga akreditasi antarabangsa utama iaitu Gold Seal of Approval, Suruhanjaya Bersama Antarabangsa (JCI) dari Amerika Syarikat; Majlis Piawaian Penjagaan Kesihatan Australia (ACHS), dan Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH), sekali gus membuktikan komitmen SMC terhadap kecemerlangan. — Majoriti

This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

Category: Kesihatan


ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

15-2-2026 02:02 AM GMT+8 , Processed in 0.047577 second(s), 15 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list