|
|
KETIKA orang lain menikmati juadah berbuka bersama keluarga tersayang setiap kali Ramadan, lain pula rutin Pengurus Projek Palestin MyFundAction, Siti Nabihah Zakaria, 32, ini.
Kemunculan Ramadan menjadi petanda tugasnya semakin getir sebagai aktivis kemanusiaan misi luar negara membabitkan rakyat Palestin.
Saban tahun dia berkampung di mana-mana bahagian pintu sempadan bumi Gaza dalam usaha menyalurkan bantuan selain menyantuni rakyat Palestin.
"Setiap Ramadan sejak 2019, menjadi bulan paling sibuk buat saya dan pasukan sukarelawan kerana misi bantuan ke bumi Palestin serta rakyat negara itu yang menjadi pelarian di negara lain.
"Malah sebelum Ramadan lagi, saya dan pasukan sukarelawan mula mengatur dan melakukan persiapan supaya dapat mengurangkan bebanan dan kesengsaraan rakyat Palestin yang menjalani ibadah puasa.
"Maklumlah ketika Ramadan, penindasan dan serangan Israel semakin menjadi-jadi kerana mahu memberi tekanan kepada rakyat Palestin supaya menjauhi Baitul Maqdis.
"Sudah dijangka seperti beberapa tahun lalu, saya akan berkampung di beberapa lokasi seperti di Turkiye, Jordan dan Mesir dalam melaksanakan kerja kemanusiaan," katanya.
Terbaharu, Siti Nabihah bersama pasukannya berjaya mengurus kemasukan 30,600 pek daging korban dalam bentuk sedia dimakan ke Palestin.
Malah sebelumnya, sebanyak tiga kontena keperluan asas harian seperti bekalan air bersih, tepung dan barangan dapur berjaya masuk Rafah dan bahagian selatan Gaza.
Tambah Siti Nabihah, menggalas tugas mengetuai misi penting mewakili pertubuhannya dalam kerja kemanusiaan banyak menuntut pengorbanan.
"Saya mengetuai misi ini sejak enam tahun lalu dan menjadi aktivis kemanusiaan karier sepenuh masa.
"Malah saya akui enam tahun juga kesempatan bertemu keluarga apatah lagi berbuka puasa bersama sangat jarang sekali.
"Saya bersyukur keluarga memahami dengan kerjaya dan tugas, malah ibu tercinta memberi dorongan kuat supaya terus istiqamah melaksanakan kerja kemanusiaan.
"Pada masa sama, saya ubati kerinduan dan detik berjauhan dengan keluarga menerusi panggilan telefon dan video setiap hari," katanya yang juga anak ketujuh daripada 11 adik-beradik.
Kata pemegang Sarjana Pengurusan Dana dan Pembangunan Lestari dari Universiti Sunway itu, tugasnya memerlukan dia bukan sekadar menyantuni rakyat Palestin, sebaliknya perlu peka dan membina hubungan antarabangsa dalam rangkaian berkaitan dengan misi kemanusiaan.
"Cabaran sebagai aktivis kemanusiaan terutama wanita, ia pada permulaannya apabila saya bersama Ketua Pegawai Operasi MyFundAction, Siti Aishah Shahid perlu memenuhi jemputan menteri agama Turkiye.
"Pertemuan itu permulaan penting bagi misi pertama saya dan MyFundAction pada 2018 iaitu membabitkan konflik kemanusiaan di Syria.
"Bayangkan saya dan Siti Aishah, dua wanita yang berbincang dengan pegawai di Turkiye dan sebenarnya di peringkat pengurusan tertinggi membabitkan hubungan diplomasi termasuk pertubuhan misi kemanusiaan antarabangsa, lelaki yang mengetuai.
"Dalam kes MyFundAction ini, wakil pimpinan terdiri daripada wanita dihantar untuk berunding. Ini juga satu pengalaman baharu untuk rakan strategik kami ketika itu.
"Reaksi yang kami terima sangat mengharukan apabila pihak Menteri Agama Turkiye menzahirkan kehadiran kami sebagai satu rahmat yang mana aspek tidak pernah disentuh dalam mana-mana perbincangan mengenai bantuan diterima, diperhalusi ketika bersama kami.
"Mereka memberi kepercayaan terutama isu membabitkan keperluan wanita yang mereka jarang ketahui, kini ditambah baik dalam misi seterusnya," katanya.
Ibaratnya kehadiran wanita dalam pimpinan pertubuhan kemanusiaan dunia sangat penting kerana dapat memperhalusi gerak kerja baik segi bantuan dan aspek pendekatan membantu pelarian atau rakyat negara yang terkesan.
"Kehadiran kami tidak diremehkan, sebaliknya dalam perbincangan itu rakan strategik kami terutama pertubuhan bawah Menteri Agama Turkiye dan lain-lain negara mempelajari bagaimana cara kami melaksanakan misi.
"Tentu sahaja ini satu penghormatan buat saya dan Siti Aishah kerana pihak luar melihat kemampuan berdasarkan keupayaan dan sesuatu kami boleh sumbangkan berbanding 'skeptikal' mengenai jantina," katanya.
Namun, Siti Nabihah tidak lupa untuk lebih berhati-hati dan menjaga diri.
"Sebenarnya apabila kerja dalam bidang kemanusiaan terutama wanita perlu sentiasa bergerak dalam pasukan.
"Termasuk ketika menghantar bantuan dan menyantuni pelarian, saya tidak bergerak seorang diri.
"Kena faham di Turkiye sendiri, penempatan pelarian tidak hanya terdiri satu negara sebaliknya beberapa negara.
"Sebagai contoh di Turkiye memiliki 11 juta pelarian ada dari Sudan, Somalia, Syria dan Palestin hanya 150,00 orang.
"Mula-mula pasukan kami turun, kami terima sedikit provokasi dari pelarian negara lain mempersoalkan kenapa hanya Palestin terima bantuan?
"Di sini saya terpaksa bertindak pantas dan menukar modus operandi pendekatan kami dalam menyalur bantuan," katanya.
Siti Nabihah mengakui di sebalik kesukaran dalam melaksanakan misi kemanusiaan ada 'kemanisan' yang tidak boleh dilupakan.
"Rakyat Palestin sangat meraikan persaudaraan dengan rakyat Malaysia dan tetangga kita, Indonesia.
"Malah kita mendapat jolokan 'sebaik-baik' insan yang mana setiap kali kami menyantuni warga Palestin, mereka melayan seperti keluarga sendiri.
"Satu kali saya dan pasukan mengunjungi sesebuah keluarga, pasti kami dijemput berbuka.
"Ada yang rasa terubat kerinduan terhadap anak perempuan dengan kehadiran kami. Saya tidak dapat gambarkan perasaan betapa bersyukurnya saya diberi peluang melaksanakan kerja kemanusiaan ini," katanya.
Sumber: Harian Metro
|
|