|
View: 20429|Reply: 0
|
Panduan berpuasa bagi pesakit buah pinggang
[Copy link]
|
|
|
KIRA- KIRA 15.5 peratus atau lebih lima juta rakyat di Malaysia, berdepan masalah penyakit buah pinggang kronik (CKD).
Statistik terkini menunjukkan, 50,000 individu dengan penyakit buah pinggang peringkat akhir (ESKD) menjalani dialisis kronik pada tahun 2023.
Menurut kajian Malaysian Dialysis and Transpant Registry (MDTR), bilangan ini bertambah saban tahun, dengan kira-kira 10,000 pesakit baharu memulakan dialisis setiap tahun dan dijangka meningkat dua kali ganda menjelang 2040.
Dialisis dan transplan adalah rawatan penting bagi pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang.
Kaedah ini berfungsi menggantikan peranan ginjal yang tidak lagi mampu menapis bahan buangan dan lebihan cecair dari tubuh.
Bagaimanapun, pesakit yang menjalani dialisis sering menghadapi cabaran dari segi pengurusan kesihatan, pemakanan dan ibadat terutamanya ketika berpuasa pada bulan Ramadan.
Pakar Perunding Nefrologi Intervensi, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia, Dr Wan Zul Haikal Hafiz Wan Zukiman menegaskan, puasa bagi pesakit dialisis perlu dipertimbangkan dengan teliti dari segi kesihatan sebelum menjalani ibadat puasa.
"Setiap pesakit dialisis dan transplan (pemindahan buah pinggang) perlu berbincang dengan pakar nefrologi sebelum melakukan ibadat puasa dan mengikuti panduan kesihatan disyorkan," katanya.
Membincangkan hubungan antara dialisis dan puasa dari sudut perubatan dan cabaran pesakit berpuasa, secara umum katanya, ada dua jenis dialisis utama.
"Pertama, hemodialisis (HD) iaitu rawatan yang membabitkan penyingkiran toksin dan cecair berlebihan dari darah melalui mesin dialisis.
"Proses ini biasanya dilakukan tiga kali seminggu di hospital atau pusat dialisis swasta. Setiap sesi dialisis akan berjalan lebih kurang empat jam.
"Cabaran bagi pesakit yang menjalani HD dan ingin berpuasa termasuklah perlu menghadiri sesi dialisis pada hari tertentu. Ubat cecair yang diberikan secara intravena seperti normal saline dan ubat-ubatan sering diberikan ketika dialisis yang boleh membatalkan puasa.
"Risiko hipotensi (tekanan darah rendah) selepas dialisis boleh menyebabkan pesakit mengalami pening atau lemah.
Keperluan untuk pengawalan cecair yang ketat boleh menyukarkan pematuhan terhadap jadual minum yang terhad ketika berpuasa.
"Pesakit juga berisiko mengalami pengurangan gula dan garam ketika melakukan dialisis," katanya.
Beliau berkata, kedua adalah peritoneal dialysis (PD), kaedah dialisis yang menggunakan lapisan perut (membran peritoneum) dalam untuk menapis toksin dari badan.
Kaedah ini dilakukan secara berterusan di rumah melalui CAPD (Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis) atau APD (Automated Peritoneal Dialysis).
"Cabaran bagi pesakit PD yang ingin berpuasa, antaranya proses pertukaran cecair dialisis (dialysate) tetap berlaku beberapa kali sehari bagi CAPD.
"Penggunaan cecair dialisis dalam CAPD atau APD boleh membantu mengurangkan pengumpulan cecair, tetapi pesakit masih perlu mengawal pengambilan air.
"Risiko dehidrasi dan ketidakseimbangan elektrolit perlu dipantau dengan lebih teliti," katanya.
Pemindahan buah pinggang
Dr Wan Zul Haikal berkata, bagi pesakit yang menjalani dialisis, pemindahan buah pinggang adalah pilihan terbaik bagi meningkatkan kualiti hidup.
Katanya, melalui transplan, pesakit boleh kembalikan fungsi buah pinggang kepada normal tanpa perlu menjalani dialisis.
"Namun, sebelum menjalani transplan, pesakit perlu melalui pelbagai ujian keserasian dan pemantauan kesihatan yang ketat. Pesakit yang menunggu pemindahan buah pinggang masih perlu meneruskan sesi dialisis.
"Bagi pesakit yang baru menjalani pemindahan buah pinggang tidak digalakkan berpuasa kerana mungkin perlu mengambil ubat antipenolakan (imunosupresif) mengikut jadual ketat.
"Kekurangan pengambilan air boleh meningkatkan risiko kegagalan buah pinggang baharu diterima.
Pengambilan ubat imunosupresif tidak mengikut jadual boleh menyebabkan penolakan buah pinggang baharu dan juga meningkatkan risiko jangkitan kuman, yang boleh membahayakan nyawa pesakit," jelasnya.
Dr Wan Zul Haikal berkata, individu yang pulih sepenuhnya selepas transplan dan mendapat kebenaran berpuasa daripada doktor, mungkin boleh melakukannya dengan pemantauan rapi terhadap tahap kesihatan dan keseimbangan garam dalam badan.
Jelasnya, beberapa kajian klinikal telah dijalankan untuk menilai kesan terhadap pesakit hemodialisis yang berpuasa menunjukkan pesakit mungkin mengalami penurunan tekanan darah dan boleh meningkatkan risiko hipotensi selepas sesi dialisis.
Katanya, kajian klinikal turut menunjukkan pesakit hemodialisis mengalami masalah pengurangan garam.
"Berpuasa boleh menyebabkan ketidakseimbangan garam seperti garam potassium, sodium, kalsium dan lain-lain. Selain itu terdapat juga pengaruh terhadap gula darah" katanya.
INFO:
Panduan untuk pesakit dialisis yang ingin berpuasa;
1.Berbincang dengan doktor - Pastikan pesakit dalam keadaan stabil sebelum cuba berpuasa.
2.- Kawal pengambilan cecair Minum air secukupnya antara berbuka hingga sahur untuk mengelakkan dehidrasi.
3.Pemakanan seimbang - Elakkan makanan tinggi garam dan gula bagi mengurangkan risiko ketidakseimbangan elektrolit.
4.Pantau simptom - Jika mengalami keletihan melampau, pening, atau tanda dehidrasi, pesakit perlu segera berbuka.
Tip berpuasa dengan dialisis:
Bagi pesakit yang ingin berpuasa walaupun menjalani dialisis, berikut beberapa panduan penting bagi mereka yang ingin berpuasa:
Mengekalkan berat badan ideal
1.Pastikan berat badan terkawal dan mengikut ketetapan pakar nefrologi dengan mengelakkan penambahan cecair berlebihan.
2.Timbang berat badan secara berkala untuk memastikan tidak berlaku penambahan atau pengurangan berat yang ketara akibat pengambilan air secara berlebihan atau berkurangan semasa sahur atau berbuka puasa.
3.Ikuti pelan pemakanan disarankan pakar dietetik dan pakar nefrologi untuk pesakit dialisis.
Persiapan ketika sahur
1.Pastikan mengambil makanan tinggi protein seperti ayam, ikan, atau telur untuk mengelakkan kehilangan protein akibat dialisis.
2.Kurangkan makanan tinggi garam seperti makanan segera dan makanan dalam tin untuk mengelakkan pengumpulan air dalam badan dan tekanan darah tinggi.
3.Ambil air dalam jumlah mencukupi tetapi terkawal untuk mengelakkan dehidrasi.
Pemakanan ketika berbuka puasa
1.Mulakan berbuka dengan kurma dan air dalam jumlah sederhana dan sedikit.
2.Ambil makanan seimbang mengandungi karbohidrat kompleks, protein, dan serat untuk tenaga berterusan.
3.Hadkan pengambilan makanan tinggi fosfat seperti susu dan produk tenusu bagi mengelakkan gangguan keseimbangan mineral dalam badan.
4.Pastikan pengambilan makanan tinggi potassium secara terkawal atau kuantiti yang sedikit seperti pisang, oren, dan makanan kering (prun, kismis dan kurma)
Pengambilan ubat
1.Berbincang dengan pakar nefrologi dalam perubahan jadual pengambilan ubat dan ikut arahan doktor mengenai jadual pengambilan ubat sepanjang bulan Ramadan.
2.Bagi pesakit yang perlu mengambil ubat selepas makan, rancang waktu berbuka dan sahur untuk memastikan pematuhan ubat tidak terjejas.
3.Pastikan ubat memerlukan air diambil dalam jumlah cecair yang cukup untuk mengelakkan pengumpulan air berlebihan dalam badan.
Sumber: BH Online
|
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
|