
Lee (empat kanan) menyerahkan sumbangan wang tunai daripada dua orang awam kepada Residen Miri Galong Luang yang menerima bagi pihak MDMC hari ini.MIRI: Sebanyak 125.56 tan sampah berjaya dikumpul sepanjang Program Gotong-Royong Mega di beberapa kawasan terjejas banjir di sini baru-baru ini. Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, program yang bermula dari 6 hingga 11 Februari lalu telah dijayakan 1,058 sukarelawan daripada pelbagai agensi dan jabatan serta orang awam.
"Program Gotong-Royong Mega Pemulihan Kawasan Terjejas Banjir ini yang dilaksanakan di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri (MDMC) telah diadakan bertujuan membantu memulihkan kawasan terjejas banjir di Miri.
"Melalui program ini, kita bukan sahaja memberikan bantuan segera kepada mereka yang memerlukan tetapi juga memberi tumpuan kepada penyelesaian jangka panjang untuk mengurangkan risiko banjir pada masa depan," katanya yang merupakan menteri bertanggungjawab bagi jawatankuasa MDMC.
Lee berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat bersama jawatankuasa MDMC berhubung inisiatif gotong-royong pascabanjir di Pejabat Residen Miri, hari ini.
Dalam pada itu katanya, walaupun kerja-kerja pembersihan pascabanjir telah selesai, beliau menggesa agensi berkaitan khususnya Jabatan Tanah dan Survei (JTS) mengambil tindakan terhadap pemaju yang membuang tanah ke dalam sungai di sepanjang Jalan Miri-Bypass (kawasan Eastwood).
Katanya, perbuatan itu telah menyebabkan sungai menjadi sempit dan sukar mengalirkan air ke sungai utama yang seterusnya mengakibatkan banjir di kawasan kediaman berhampiran termasuk Pujut Tanjung Batu.
"Sudah tentu tindakan akan diambil dan kita akan membentuk pasukan petugas yang diketuai oleh Residen Miri untuk menangani isu ini.
"Semasa banjir baru-baru ini, kami telah turun padang dan melihat sendiri apa yang berlaku.
"Terdapat banyak longkang tersumbat, tumbuhan yang merimbun dan satu aliran air tertentu yang tidak dapat mengalir terus ke sungai," katanya.
Pada masa sama, Lee turut menggesa Majlis Bandaraya Miri (MBM) meningkatkan pengurusan sisa dengan mengembalikan tong sampah 'roll-on, roll-off' (RoRo) di lokasi yang ditetapkan di seluruh bandar ini.
Beliau menegaskan bahawa tong sampah ini penting untuk mengelakkan penduduk membuang sampah ke dalam longkang atau semak yang boleh menyebabkan banjir kilat jika sampah tersebut tersangkut dalam sistem saliran.
"Selain itu, MBM juga perlu membaiki semua jalan rosak dan lubang di kawasan kediaman kerana perkara ini terletak di bawah bidang kuasa mereka manakala Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu segera bertindak membaiki semua lubang di jalan utama kerana ia membahayakan pengguna jalan raya," tegasnya.
Terdahulu pada mesyuarat itu, Lee turut mengucapkan terima kasih kepada semua jabatan kerajaan, agensi korporat dan orang awam yang telah memberi bantuan dengan penuh murah hati kepada MDMC dalam usaha bantuan banjir dan pemulihan pascabanjir.
|