
KUCHING: Seorang kontraktor lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan sengaja memuat naik penghantaran jelik menghina seorang wanita melalui aplikasi Facebook.
Tertuduh, Mohamad Ai’zat Azizi, 31, memohon dibicarakan selepas mendengar satu pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Iris Awen Jon.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membuat penghantaran komunikasi jelik dengan memuat naik status yang mengandungi kata-kata menghina wanita berusia 38 tahun itu menggunakan akaun Facebook didaftarkan atas nama Aizat Azizi.
Kesalahan itu didakwa dilakukannya sekitar jam 2.34 petang pada 19 Disember 2024 di sebuah rumah di Taman Sourabaya Indah, Off Jalan Bako di sini.
Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 dikenakan kepada tertuduh dengan dua penjamin tempatan.
Tertuduh yang diwakili peguam Mohd Ikmal Iqbal Baharuddin bagaimanapun merayu jumlah jaminan dikurangkan kepada RM2,500 berserta seorang penjamin tempatan.
Iris kemudiannya bersetuju dengan Aiman dan memerintahkan tertuduh dikenakan jaminan RM5,000 berserta dua penjamin tempatan, selain menetapkan 17 Mac 2025 sebagai tarikh sebutan semula kes.
|