
KUCHING: Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) mampu menjalankan tugas mengelola petroleum dan gas Sarawak tanpa perlu terlalu bergantung kepada PETRONAS.
Presiden Persatuan Kontraktor Petroleum Sarawak (SPECA) Datuk Rahman Lariwoo (gambar) berkata hasil bumi seperti gas harus diurus sendiri oleh Sarawak.
Sarawak tambahnya, sebagai penyumbang terbesar petroleum dan gas negara seharusnya diberi hak penuh untuk mengelola dan mengagihkan sendiri sumber itu kepada kerajaan persekutuan.
"SPECA yakin PETROS mampu mengambil alih peranan yang lebih besar dalam industri minyak dan gas negeri.
"Secara keseluruhan, SPECA menekankan hak autonomi Sarawak dalam mengurus hasil minyak dan gasnya, mengkritik ketidakseimbangan dalam pulangan serta ketidakterbukaan PETRONAS," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Kenyataan itu sebagai reaksi SPECA terhadap penerangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai aktiviti petroleum di Sarawak dengan menekankan beberapa perkara.
"Sarawak sebagai penyumbang terbesar petroleum dan gas negara iaitu sebanyak 60 peratus, seharusnya diberi hak penuh untuk mengelola dan mengagihkan sendiri sumber ini kepada kerajaan persekutuan, bukan sebaliknya.
"Sejak Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA 1974) diperkenalkan, Sarawak hanya menerima pulangan lima peratus, satu jumlah yang dianggap tidak mencerminkan sumbangan besar negeri kepada sumber negara," katanya.
Rahman menambah kurangnya perwakilan anak Sarawak dalam kepimpinan PETRONAS, malah sehingga kini tiada rakyat negeri ini pernah mengetuai PETRONAS walaupun terdapat ramai individu berkaliber dalam bidang petroleum, gas dan pengurusan.
Ketelusan kewangan PETRONAS katanya, juga dipersoalkan kerana tidak pernah secara terperinci mendedahkan keuntungan atau perbelanjaan tahunan kepada Sarawak.
"Sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih pentadbiran negara, melihat ada perubahan positif dalam hubungan PETRONAS dengan Sarawak.
"Kita berharap pembahagian kontrak perairan di Sarawak lebih banyak diberikan kepada kontraktor tempatan bagi memastikan limpahan ekonomi terus dinikmati rakyat negeri ini,” katanya.
BERNAMA melaporkan Perdana Menteri pada Sesi Penerangan Perdana Menteri di Dewan Rakyat semalam berkata kerajaan persekutuan dan Kerajaan Sarawak memperakui aspirasi Sarawak yang berhasrat menceburi kegiatan industri minyak di negeri berkenaan.
Anwar berkata hasrat itu dipaparkan menerusi Ordinan Pengagihan Gas 2016 (Pindaan) (DGO) dan berkuat kuasa pada 1 Mac, 2025.
“DGO dibaca sekali dengan Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA), maka PETROS (Petroleum Sarawak Bhd) berperanan sebagai agregator di Sarawak.
Menjelaskan selanjutnya, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata peranan itu tetap mengesahkan kelulusan sebelumnya kepada Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) dan anak-anak syarikatnya.
"Ini bermakna PETRONAS akan mengekalkan semua perjanjian (obligasi berkontrak) domestik dan antarabangsa yang sedia ada," katanya.
|