ARTITAYA ditahan di Samut Sakhon kerana dipercayai terbabit penipuan pusat panggilan. FOTO Agensi/Ihsan KhaoSod
Bangkok: Anak perempuan kepada seorang timbalan Datuk Bandar Nakhon Si Thammarat ditangkap di Samut Sakhon, baru-baru ini kerana terbabit dalam penipuan pusat panggilan.
Portal The Thaiger melaporkan, penangkapan itu susulan siasatan menyeluruh oleh polis siber terhadap penipuan pusat panggilan berskala besar yang menyasarkan warga Thailand, Cina, Russia, dan Jepun.
Polis siber di bawah arahan Leftenan Jeneral Polis Trirong Phiuphan mengkoordinasikan operasi pencarian di empat lokasi di Nakhon Si Thammarat.
Hasil operasi itu, terdapat bukti mengaitkan wanita yang dikenal pasti sebagai Artitaya dengan pusat panggilan ditemui.
Waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Daerah Thung Song pada 8 Mei tahun lalu membawa kepada penangkapannya di sebuah rumah di Phanthai Norasing, daerah Mueang, di wilayah Samut Sakhon.
Siasatan itu bermula pada 29 Mac tahun lalu, apabila polis siber bekerjasama dengan Jabatan Siasatan Khas (DSI), polis imigresen, dan Suruhanjaya Penyiaran dan Telekomunikasi Negara (NBTC) menyerbu empat lokasi utama di Nakhon Si Thammarat.
Operasi itu menumpaskan sindiket pusat panggilan dikendalikan oleh warga Cina yang membawa kepada penangkapan 90 individu, termasuk warga Thailand dan warga asing.
Dalam serbuan itu, polis merampas 192 komputer, 854 telefon mudah alih dan kad SIM, 22 routers, dan 342 buku akaun bank.
Siasatan lanjut mendedahkan timbalan datuk bandar berusia 51 tahun, Rewadi, menyediakan premis untuk operasi pusat panggilan dan mendapat keuntungan secara kewangan.
Artitaya dan suaminya yang berasal dari China melarikan diri ke Samut Sakhon, yang mana mereka menyewa sebuah bangunan komersial untuk menjual produk dalam talian yang diimport dari China, bersama beberapa pekerja Thailand.
Pemantauan polis mengesahkan kehadiran Artitaya di sebuah rumah sebelum ditangkap.
Telefon bimbitnya menunjukkan komunikasi dengan Rewadi melalui aplikasi LINE, walaupun tiada hubungan telefon langsung ditemui.
Rewadi dan suaminya, Lin, juga dikehendaki berkaitan dengan penipuan itu.
Artitaya berdepan dengan tuduhan penipuan awam, penyamaran, dan memperkenalkan data yang mengelirukan ke dalam sistem komputer.
Selain itu, dia menghadapi tuduhan berkaitan dengan jenayah terancang, termasuk pembabitan dalam organisasi jenayah transnasional.
Artitaya diserahkan kepada penyiasat di Biro Siasatan Jenayah Siber untuk tindakan selanjutnya, lapor KhaoSod.
|