Pengerusi PN Muhyiddin Yassin, berkata tiada arahan melarang mana-mana pemimpin parti komponen itu bersuara, susulan kenyataan terbaru dibuat Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria terhadap Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang mencetuskan kontroversi.
Bagaimanapun, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu, mengingatkan semua pemimpin PN tentang keperluan menyemak fakta sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.
“Tiada perkara seperti arahan larangan bersuara, tetapi saya mengharapkan ahli Perikatan memastikan bahawa apabila mereka bercakap, mereka menyemak fakta terlebih dahulu dan (kenyataan itu) tidak sepatutnya menimbulkan masalah yang tidak perlu.
“Saya tidak memihak kepada sesiapa. Tambahan pula, dalam musim Tahun Baharu Cina ini, kita perlu menekankan perpaduan nasional dan pemahaman yang lebih baik antara kaum di Malaysia,” kata Muhyiddin kepada wartawan ketika sambutan Tahun Baru Cina anjuran Gerakan di Kuala Lumpur.
|