Semasa bomba tiba, api sedang marak membakar kandang ayam berkenaan dalam kejadian di sebuah ladang ternakan di Sungai Rait, Jalan Bakam di sini tengah malam tadi.
MIRI: Sebanyak 15,000 ekor anak ayam mati dalam kebakaran membabitkan sebuah kandang ayam di sebuah ladang ternakan di Sungai Rait, Jalan Bakam di sini tengah malam tadi.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, sebaik menerima panggilan kecemasan jam 11.45 malam, sepasukan 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri Sentral dan BBP Lopeng (bantuan) telah bergegas ke lokasi yang sejauh 22 kilometer dari balai.
"Setibanya di lokasi, komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan sebuah kandang ayam berkeluasan 60x400 kaki persegi yang telah musnah keseluruhannya.
"Terdapat 15,000 ekor anak ayam mati disebabkan kebakaran itu," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan awal pagi ini.
Berikutan itu katanya, pasukan keluaran operasi terus bertindak memadam kebakaran tersebut menggunakan sumber air terbuka.
"Api yang marak dapat dikawal jam 12.40 tengah malam dan operasi tamat sepenuhnya jam 1.33 pagi," ujar beliau lanjut.
Setelah memastikan semua punca api dipadamkan, pasukan keluaran operasi bertolak balik ke balai.
|