Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Lawas petang tadi.
LAWAS: Sepasang suami isteri warga emas maut selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan lori pengangkut batu di Kampung Berayung Baru, Jalan Trusan di sini, petang tadi.
Dalam kejadian jam sekitar 1 petang itu, mangsa, pemandu kereta Peranchis Nani, 67, dan isterinya Raminah Tadam, 69, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah, manakala pemadu lori mengalami kecederaan ringan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas Clarence D. Primus Tiandun berkata, sepasukan anggota bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 1.11 petang.
Katanya, sebaik pasukannya tiba di tempat kejadian, didapati benar berlaku kemalangan jalan raya melibatkan sebuah lori pengangkut batu seberat 10 tan yang menuju ke bandar Trusan bertembung dengan sebuah kereta yang menuju ke Kampung Long Tengoa.
"Pemandu dan penumpang kereta terbabit yang merupakan pasangan suami isteri meninggal dunia di tempat kejadian selepas disahkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Manakala pemandu lori yang cedera ringan telah dibawa oleh orang awam ke hospital untuk rawatan," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Kata Clarence, pasangan suami isteri berkenaan tersepit di tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan.
Jelasnya, tindakan mengeluarkan mangsa dilakukan dengan memotong pintu hadapan menggunakan alat pemotong sehingga mayat mangsa berjaya dikeluarkan lalu diserahkan kepada pihak polis.
"Operasi tamat pada jam 2.52 petang," katanya.
|