GAMBAR hiasan
Beijing: Individu yang memiliki dua sistem pembiakan mengejutkan dunia apabila mempunyai dua anak hasil perkongsian hidupnya dengan seorang wanita dan lelaki.
Pekerja kilang di barat daya China ini mengejutkan ramai apabila menjadi ibu dan bapa sekali gus kepada dua anak lelakinya menerusi dua perkahwinan dengan pasangannya itu.
Liu yang berusia 59 tahun itu dilahirkan di sebuah kampung di daerah Bishan di perbandaran Chongqing, kekal sebagai wanita, menurut kad pengenalannya, lapor Chongqing Morning Post.
Sejak zaman remaja lagi, wanita itu memiliki sifat berbeza daripada rakan sejantinanya, contohnya suka memotong rambut pendek dan memakai pakaian lelaki.
Apabila dia menggunakan tandas perempuan di sekolah, Liu sering diberitahu dia ke tempat yang salah kerana penampilannya seperti lelaki.
Pada usia 18 tahun, Liu berkahwin dengan lelaki bernama Tang serta melahirkan anak lelaki dalam tempoh setahun.
Namun, badannya mengalami perubahan lonjakan hormon androgenik yang menyaksikan dia mula tumbuh janggut dan saiz payudaranya mengecil. Organ pembiakan lelakinya turut lebih ketara sehingga suaminya tidak dapat menerima perubahan itu serta menceraikannya.
Liu memulakan hidup baharu sebagai lelaki dengan berpindah ke daerah lain dan bekerja di kilang kasut.
Seorang rakan sekerja wanita bernama Zhou jatuh cinta kepadanya.
Pada mulanya, Liu menentang pendekatan Zhou kerana keadaan fizikalnya yang istimewa, tetapi dia terharu dengan kegigihan dan keikhlasan Zhou dan mula menerimanya.
Walaupun mengetahui keadaan Liu, Zhou berkeras untuk mengahwininya.
Bagaimanapun, perkahwinan mereka menghadapi halangan undang-undang kerana kad pengenalan Liu menunjukkan jantinanya masih wanita sedangkan perkahwinan homoseksual diharamkan di China.
Liu meminta bantuan bekas suaminya Tang untuk mendaftarkan perkahwinan dengan Zhou dan sebagai balasan Liu berjanji untuk menyumbang lebih banyak kewangan untuk membesarkan anak lelaki mereka.
Selepas tinggal bersama Liu selama beberapa tahun, Zhou hamil dan melahirkan bayi lelaki pada awal 2000-an.
Beberapa doktor mula menawarkan untuk melakukan pemeriksaan fizikal untuknya, tetapi tawaran mereka ditolak, malah Liu masih belum menjalani pembedahan transgender kerana masalah kos.
|