FOTO HIASAN
Washington: Ribut musim sejuk yang kuat mula melanda tengah Amerika Syarikat (AS) mulai Sabtu dengan pakar meteorologi memberi amaran bahawa jutaan orang di timur negara itu akan menghadapi keadaan ribut salji, ais berbahaya, suhu sangat sejuk dan gangguan perjalanan yang teruk.
Lebih 60 juta orang berada dalam laluan ribut berbahaya itu yang akan menjerumuskan separuh bahagian timur AS ke dalam udara Artik yang membeku, sehingga Isnin.
Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) memberi amaran mengenai cuaca ganas termasuk angin kencang di negeri di dataran tengah ke Mid-Atlantic (negeri-negeri AS di pantai tengah Lautan Atlantik).
Amaran ribut musim sejuk dikeluarkan untuk bahagian barat Kansas hingga ke negeri pantai Maryland, Delaware dan Virginia.
"Ribut musim sejuk yang mengganggu menjejaskan (negeri-negeri) dataran tengah ke Mid-Atlantic hingga Isnin dengan salji tebal yang meluas dan pengumpulan ais yang merosakkan," kata NWS dalam laporan terbarunya.
Ribut besar pertama pada 2025 itu mendatangkan malapetaka dalam perjalanan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kansas City yang mengumumkan penutupan operasi penerbangannya pada Sabtu kerana pengumpulan ais yang cepat.
Sebahagian daripada negeri timur New York dan Pennsylvania menghadapi salji lake-effect dari Tasik Besar yang boleh menyebabkan salji sehingga 61 sentimeter (sm) di sana, menurut NWS.
Syarikat ramalan AccuWeather pada Sabtu berkata, jumlah salji lake-effect di rantau ini yang sudah diselimuti salji pada minggu ini, boleh mencapai ketinggian empat kaki (kira-kira 1.2 meter).
Ribut salji akan melanda negeri-negeri di dataran tengah pada awal Ahad, dan akan menyebabkan perjalanan menjadi sangat berbahaya, dengan jalan yang tidak boleh dilalui dan risiko tinggi untuk kenderaan terkandas, kata NWS.
Salji tebal melebihi 38 sentimeter dari timur laut Kansas ke utara-tengah Missouri akan menjadi salji paling lebat dalam sedekad di sana, tambahnya.
Ibu negara AS, Washington mungkin diselubungi salji lima inci atau lebih, dengan sehingga 10 inci mungkin di kawasan berdekatan.
Disiarkan pada: Januari 5, 2025
|