CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 81772|Reply: 1

[Kedah] Walau keluarga berlainan agama, tetap sambut Hari Krismas bersama

[Copy link]
Post time 24-12-2024 05:10 PM | Show all posts |Read mode
Walau keluarga berlainan agama, tetap sambut Hari Krismas bersama

Oleh Zuliaty Zulkiffli - Disember 24, 2024 @ 9:00am [email protected]





JITRA: Meskipun saya berlainan agama, namun tetap bersama ibu dan adik beradik lain meraikan Hari Krismas bersama malah saya banyak membantu ibu menghias rumah," kata Muhammad Ayman Joshua Abdullah, 34.

Menurutnya, dia yang sudah 17 tahun memeluk Islam mengakui hubungannya dengan kakak, abang serta adik bongsunya tetap rapat.

Katanya, tahun ini sambutan Hari Krismas diraikan secara sederhana disebabkan ibunya, J Roslind, 71, yang juga penganut Kristian disahkan menghidap penyakit jantung sejak 2 Ogos lalu.

"Semua kuih-muih serta makanan untuk hidangan pagi raya kami tempah saja dan biasanya kakak dan adik perempuan akan membantu memasak juadah lain di dapur.

"Tahun ini kakak yang menetap di Johor, abang pula menetap di Kuala Lumpur serta adik bongsu menetap di Bertam, Pulau Pinang pulang untuk sama-sama menyambut Hari Krismas, syukur Alhamdulillah," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Pasu, di sini malam tadi.

Muhammad Ayman Joshua yang bekerja sebagai pemandu trak penunda berkata, tahun ini dia ingin berehat bersama keluarga menyambut perayaan ini berbanding ketika dia menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Katanya, biasanya setiap hari dia menyambut Hari Raya Aidilfitri, dia akan bekerja namun ibunya akan turut meraikan Hari Raya bersamanya.

"Saya masih bujang dan tinggal bersama ibu di rumah ini. Biasanya, seminggu sebelum menjelang Krismas, saya akan menghias rumah termasuk menyusun hiasan pada pokok Krismas di luar serta dalam rumah.

"Lepas itu, saya akan tolong ibu pasang langsir dan kemas rumah jika ada kelapangan sementara menunggu tiga beradik lain pulang ke rumah.

"Bagi saya apa jua perayaan yang disambut semuanya sama, cuma agama yang berlainan," katanya yang juga anak ketiga dari empat beradik.

Menurutnya lagi, setiap kali pagi Hari Krismas, dia akan menemani ibunya ke gereja di Alor Setar untuk sembahyang sementara dia menunggu di luar dan apabila semuanya selesai, mereka akan pulang ke rumah untuk menyediakan makanan.

Katanya, dia akan menjemput rakan-rakan termasuk ahli keluarga untuk menikmati hidangan di rumahnya pada pagi Krismas.

"Kawan-kawan saya ramai beragama Islam, jadi saya jemput mereka dan hidangkan makanan bersesuaian dan setiap tahun memang ramai yang datang," katanya.

Sementara itu ibunya berkata, dia tidak menghalang anaknya memilih agama lain kerana mereka tetap darah dagingnya.

Katanya, sebagai ibu dia mengharapkan anak-anaknya selamat dan hidup dengan baik walaupun hanya Muhammad Ayman yang memeluk Islam.

"Apapun dia tetap anak saya, saya terima apa jua keputusan dia tapi bagi saya, apa jua perayaan, kita sambut macam biasa.

"Cuma tahun ini saya kena banyak berehat selepas doktor sahkan saya menghidap penyakit jantung. Kalau tidak, saya akan masak kari kambing untuk anak-anak dan tetamu," katanya yang juga pesara kerajaan.




Muhammad Ayman bersama ibunya, Roselind, melakukan persiapan akhir menyusun aksesori pada pokok Krismas menjelang Sambutan Hari Krismas esok. - Foto NSTP/Wan Nabil Nasir.






Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 24-12-2024 05:11 PM | Show all posts

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

27-12-2024 07:10 PM GMT+8 , Processed in 0.044963 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list