Lalhmunthara (kiri) menerima sumbangan berbentuk wang daripada Olivia (kanan) sambil disaksikan Fatimah (tengah) di ‘The Season for Giving’ di Café Café, Jalan Rubber hari ini.
KUCHING: Kerajaan negeri amat menggalakkan komuniti usahawan di Sarawak mengamalkan sikap memberi semula kepada masyarakat demi kesejahteraan rakyat berbilang kaum di negeri ini.
Demikian kata Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, sambil menambah bahawa golongan ini sering melakukannya pada bila-bila masa.
“Kita tahu bahawa pada musim Krismas inilah orang akan merasakan ia adalah waktu untuk memberi. Di Sarawak, bukan hanya pada Krismas kita memberi.
“Ia akan diikuti dengan Tahun Baharu Cina dan pada bulan Ramadan juga kita memberi sumbangan kepada kanak-kanak atau kepada warga emas,” katanya semasa ditemui di acara ‘The Season for Giving’ di Café Café, Jalan Rubber, di sini.
Beliau juga menyatakan rasa gembira kerana usahawan yang juga pemilik Café-Café seperti Olivia Ling telah melaksanakan kerja amal yang melibatkan kumpulan minoriti kaum Penan baru-baru ini.
Kumpulan yang rentan di Sarawak akan sentiasa mendapat bantuan daripada kumpulan filantropi yang tidak henti-henti ingin memberi sumbangan. Inilah semangat Sarawak yang kita hargai, tegasnya.
Hari ini, seramai 30 kanak-kanak dari dua institusi; Rumah Kanak-Kanak Toh Puan Hajah Norkiah Kuching dan The Salvation Army Kuching Childrens Care Centre telah diraikan dalam satu majlis.
Menurut Fatimah, ini menjadi saat gembira bagi kanak-kanak yang berumur dari bayi hingga 12 tahun tersebut yang diraikan, walaupun mereka datang daripada latar belakang dan kesulitan hidup yang berbeza.
“Dengan menunjukkan rasa belas kasihan dan kasih sayang, ini akan menjadi kenangan yang diingat oleh mereka bahawa mereka juga disayangi,” jelasnya.
Sementara itu, Olivia turut menyatakan bahawa beliau gembira menganjurkan acara itu kerana percaya setiap entiti perniagaan sepatutnya memberi semula kepada komuniti sebagai tanda penghargaan.
“Kami memahami bahawa satu-satunya cara kita berjaya dalam komuniti yang kita berada sekarang adalah melalui sokongan daripada orang ramai.
“Dan dari situ, tanggungjawab kami untuk memastikan bahawa kita memberikan kembali kepada komuniti dan acara seperti ini kami rancang untuk dijalankan secara tahunan,” ujarnya.
Seramai 30 kanak-kanak tersebut dijamu dengan hidangan makan tengah hari, terlibat dalam aktiviti seni pasir berwarna, diberikan wang saku serta pemberian baju jersi dan bola keranjang masing-masing.
Tidak dilupakan juga, penghuni dari kedua-dua badan amal tersebut diberikan potongan rambut percuma sempena sambutan Hari Krismas akan datang.
Hadir sama adalah Pembantu Khidmat Am Rumah Kanak-Kanak Toh Puan Hajah Norkiah Kuching Christina Lidum dan pengiring dari The Salvation Army Kuching Childrens Care Centre Leftenan Lalhmunthara Hmuna.
|