SIBU: Seorang wanita tempatan berusia 50-an yang bekerja sebagai kakitangan kerajaan di sini menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam talian, menyebabkan kerugian sebanyak RM164,000.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili, berkata mangsa tertarik dengan iklan pelaburan di aplikasi Facebook yang menjanjikan pulangan lumayan.
“Pada 12 Oktober lalu, mangsa menekan pautan iklan tersebut dan berhubung dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp.
"Suspek memperkenalkan dirinya sebagai ‘Spark Liang’ dan menambah mangsa ke dalam kumpulan WhatsApp 'Investment Saham Malaysia' untuk meyakinkannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Zulkipli, antara 30 Oktober hingga 22 November, mangsa melakukan 15 transaksi pemindahan wang berjumlah RM279,000 ke tiga akaun bank tempatan. Katanya, mangsa sempat mengeluarkan RM115,000 daripada pelaburan tersebut.
"Namun, pada 27 November, akaun pelaburan mangsa disekat, menyebabkan dia tidak dapat membuat sebarang pengeluaran.
"Curiga dengan situasi itu, mangsa akhirnya menyedari dirinya telah ditipu dan membuat laporan polis pada 13 Disember,” katanya.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan, dan denda jika sabit kesalahan.
Zulkipli menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi.
Beliau juga menggesa masyarakat untuk menyemak status pelaburan terlebih dahulu dengan Bank Negara Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bagi mengelakkan menjadi mangsa.
"Sebarang maklumat lanjut atau laporan boleh dibuat melalui Pusat Respons Scam Kebangsaan di talian 997,” tegasnya Beliau turut menekankan pentingnya kerjasama masyarakat dalam membanteras jenayah siber.
“Penipuan seperti ini bukan sahaja melibatkan kerugian kewangan, tetapi juga memberi kesan emosi kepada mangsa.
"Oleh itu, kerjasama antara pihak berkuasa dan masyarakat amat penting,” tambah beliau.
|