CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 6748|Reply: 0

[Sarawak] KPDN dan MCBA perkukuh penyelarasan tugas kuat kuasa barang kawalan di pintu sempadan

[Copy link]
Post time 17-12-2024 03:15 PM | Show all posts |Read mode


Armizan pada sidang media selepas Mesyuarat Penyelarasan Penguatkuasaan Menangani Isu Ketirisan Barang Kawalan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan di Kuching, hari ini. - Gambar Chimon Upon

KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)

melalui Sekretariat Ops Tiris akan bekerjasama rapat dengan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA) dalam usaha memperkukuh penyelarasan tugas-tugas penguatkuasaan berkaitan barang kawalan di pintu sempadan.

Menteri KPDN Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pemeriksaan terhadap barangan kawalan penting sebagai salah satu langkah untuk menangani isu ketirisan barang kawalan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Menurutnya, MCBA akan beroperasi sepenuhnya di pintu sempadan pada Februari tahun hadapan secara peringkat.

"Sebelum operasi penuh MCBA di pintu masuk dilaksanakan, kita (KPDN) akan melaksanakan arahan penurunan kuasa kepada pegawai-pegawai dari agensi sedia ada di pintu-pintu sempadan.

"Ini kerana di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan KPDN, kita tidak mempunyai pegawai penguat kuasa di pintu sempadan.

"Begitu juga, kalau ada serahan kes, ia akan mengambil masa disebabkan adanya pintu sempadan yang jauh.

"Jadi, pendekatan terbaik yang boleh dilaksanakan adalah penurunan kuasa penguatkuasaan KPDN itu kepada agensi yang sedia ada di pintu sempadan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Penyelarasan Penguatkuasaan Menangani Isu Ketirisan Barang Kawalan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof di sini, hari ini.

Sementara itu, Armizan berkata, terdapat keperluan untuk menangani ketirisan yang berlaku bukan sahaja di kawasan sempadan tetapi juga di pedalaman, pusat bandar dan perairan.

"Ketirisan termasuk penyeludupan ke negara luar dan penyelewengan, seperti menjual barangan bersubsidi termasuk diesel kepada sektor perindustrian dan bukannya penerima manfaat seperti pengguna, nelayan dan sektor pengangkutan awam," ujarnya.

Sehubungan itu katanya, penyelesaian digital seperti permit berasaskan kod QR untuk barangan terkawal juga akan diperkenalkan untuk meningkatkan keberkesanan pemantauan.

"Ini akan membolehkan pengesanan barangan yang lebih cekap dan tepat, sekali gus meminimumkan peluang ketirisan," ujarnya.

Antara langkah lain yang akan dilaksanakan, tambah Armizan ialah mempertingkatkan kerjasama antara KPDN, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan agensi lain bagi memperkukuh sumber manusia, keselamatan dan logistik.

"Sebagai contoh, kita memerlukan bantuan PDRM untuk melindungi keselamatan pegawai penguat kuasa dan barang rampasan.

"Begitu juga dari segi aspek aset dan logistik, kita tidak mempunyai ruang penyimpanan barang eksibit yang banyak.

"Maka diputuskan supaya agensi seperti PDRM dan pihak berkuasa tempatan (PBT) Kerajaan Sarawak membantu menyediakan ruang ini," jelasnya.

Selain itu katanya, mesyuarat itu turut memutuskan untuk melaksanakan pemantauan berkala di 466 stesen minyak di seluruh Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan mulai 15 Disember tahun ini.

"Pegawai KPDN akan sentiasa memeriksa stesen minyak ini di seluruh kawasan ini dan merekodkan penemuan mereka dalam buku log dalam pemantauan berkala ini.

"Malah kita turut menggesa Kerajaan Sabah dan Sarawak mengambil tindakan sewajarnya, termasuk merobohkan jeti dan pelabuhan haram kerana ini adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan PBT.

"Struktur haram ini sering menyumbang kepada aktiviti kebocoran," ujarnya lagi.


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

18-12-2024 12:54 PM GMT+8 , Processed in 0.039728 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list