Alor Setar: Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas akibat banjir dibenarkan tinggal di asrama sekolah sepanjang tempoh peperiksaan itu berlangsung mulai semalam hingga Februari depan.
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (KPM) Datuk Ruji Ubi berkata, langkah itu bagi memastikan semua calon SPM termasuk kira-kira 28,900 di Kedah dapat menduduki peperiksaan tanpa bimbang keadaan banjir yang melanda.
Menurutnya, KPM dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) telah membuat perancangan rapi sejak Oktober lalu bagi memastikan peperiksaan SPM 2024 termasuk ujian bertulis yang dijadual bermula awal bulan depan berjalan lancar.
"Bagi pelajar yang terjejas, kita benarkan mereka menduduki peperiksaan di sekolah lain. Contohnya seramai 81 pelajar Sekolah Menengah Agama Darul Saadah ditempatkan di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kedah.
"Sekiranya musim tengkujuh ini berterusan sehingga ujian bertulis SPM bermula 2 Januari depan, pelajar boleh terus tinggal di asrama dan KPM akan menyediakan kemudahan penginapan, makan minum serta bimbingan guru kaunseling," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan tinjauan di Pusat Peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Malik, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai situasi banjir yang menjejaskan operasi persekolahan di Kedah, Ruji berkata, empat daerah iaitu Kota Setar, Kubang Pasuk, Sik dan Padang Terap didapati paling terjejas akibat bencana berkenaan.
Katanya, setakat ini sejumlah 15 sekolah ditutup kerana dijadikan pusat pemindahan sementara menyebabkan operasi persekolahan membabitkan kira-kira 1,500 pelajar terjejas.
"Disebabkan itu, kita minta ibu bapa sekiranya mempunyai anak yang menduduki SPM dan bimbang mereka tidak dapat hadir peperiksaan akibat air naik, boleh minta mereka duduk di asrama disediakan JPN.
"Contohnya bagi pelajar di Kota Setar, kita menyediakan kemudahan asrama di SMKA Kedah yang mempunyai kapasiti 800 orang, jadi jika terkesan akibat banjir, pelajar boleh berpindah dan kita uruskan semua termasuk pengangkutan," katanya.