Suspek dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Sibu hari ini bagi permohonan reman bagi membantu sisatan kes pembuangan bayi di Jalan Tong Sang.
SIBU: Lelaki yang merupakan suspek utama dalam kes buang bayi di Sibu kelmarin akan didakwa atas kesalahan merogol.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan kes di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
"Hasil siasatan awal pihak kami mendapati suspek lelaki adalah kenalan kepada bapa mangsa.
"Kita juga membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol," katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, kes buang bayi itu juga disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi, yang boleh membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Katanya lagi, kes tersebut merupakan yang pertama dilaporkan di daerah ini sepanjang tahun ini.
Dalam kejadian pada jam 8.30 pagi semalam, seorang bayi ditemui dalam keadaan lemah di dalam bekas penyimpanan ikan berhampiran tempat pembuangan sampah di Jalan Tong Sang dekat sini.
Bayi yang masih hidup ditemui orang awam di tepi Jalan Tong Sang, Sibu pagi semalam.
Bayi lelaki seberat 1.48 kilogram itu ditemui bersama uri dan tali pusatnya dan dipercayai baru dilahirkan dalam tempoh kurang daripada 24 jam.
Menurut Zulkipli, remaja perempuan yang dipercayai ibu kepada bayi tersebut kini sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Sibu.
Sementara suspek lelaki yang ditahan semalam bagi membantu siasatan kes pembuangan bayi di Jalan Tong Sang, direman enam hari oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.
Perintah tersebut dikeluarkan Majistret Oon Kork Chern secara Zoom selepas mendengar permohonan daripada pegawai pendakwaan yang diketuai ASP Siti Mariyah Dahari.
|