Dr Rundi (duduk tengah), Mawan (duduk tiga kiri), Dr Adrian (duduk tiga kanan) merakamkan gambar bersama warga Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak. - Gambar Roystein Emmor
KUCHING: Sarawak bakal menubuhkan Jabatan Perikanan sendiri bagi mengawal selia dengan lebih teratur sumber yang boleh mendatangkan pendapatan kepada negeri ini.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, bagi tujuan itu, draf pindaan Ordinan Perikanan Sarawak 2003 telah dirangka dan kini di peringkat akhir.
"Ini penting kerana kita harus mengawal selia sumber kita kerana pantai kita panjang 1,000 kilometer (km) dan sudah tentu mempunyai banyak sumber yang boleh mendatangkan pendapatan kepada Sarawak yang selama ini tidak diguna pakai.
"Jadi dengan adanya Jabatan Perikanan sendiri, kita boleh mengawal selia dengan lebih teratur sumber kita dan mempunyai kuasa.
"Saya berharap dalam setahun dua ini kita dapat menubuhkan jabatan tersebut," katanya kepada pemberita semasa ditemui di Hotel Sheraton di sini, hari ini.
Terdahulu, Dr Rundi hadir menyampaikan amanat sempena sambutan Majlis Hari Integriti Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak Tahun 2024 di hotel tersebut.
Hadir sama, Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak) Tan Sri William Mawan Ikom dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak Datu Dr Adrian Susin Ambud.
Ujar Dr Rundi lagi, penubuhan Jabatan Perikanan sendiri penting untuk menjamin masa depan nelayan di negeri ini.
"Kalau kita lihat di Sabah sudah ada (Jabatan Perikanan) tetapi tidak di Sarawak dan kita terpaksa bergantung kepada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan sebagainya.
"Jadi masa depan nelayan kita tidak terjamin kalau tidak dikawal dengan betul kerana kita ada perikanan laut dalam dan sebagainya.
"Kadang-kadang bot yang besar juga boleh pergi ke tempat yang cetek dan ini akan menjejaskan pendapatan nelayan bot kecil," katanya.
Sebab itu kata Dr Rundi, pihaknya mahu menggunakan pendekatan baharu sama seperti menubuhkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak yang dahulunya di bawah Jabatan Pertanian Sarawak.
"Sarawak telah membangun dan kita terpaksa memfokuskan setiap industri.
"Sebab itu saya menukar nama kementerian ini Industri Makanan kerana kalau tidak ada industri kita tidak boleh menjayakan pertanian kita terutama yang tinggal di luar bandar,” katanya.
|