Gambar fail
KUCHING: Kadar kelulusan bagi permohonan Program Malaysia Rumah Keduaku (S-MM2H) di Sarawak mencapai hampir 100 peratus, dengan 386 permohonan diluluskan dari Januari hingga Ogos tahun ini.
Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah (gambar), pada hari ini sahaja, 66 permohonan S-MM2H telah diluluskan oleh kementeriannya.
Jelasnya, dari 2007 hingga 2019, hanya 1,240 permohonan telah diluluskan untuk program S-MM2H.
"Bagaimanapun, dari 2020 hingga Ogos 2024, di bawah Jawatankuasa Panel Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP), sejumlah besar 1,462 permohonan telah diluluskan dalam tempoh empat tahun lapan bulan sahaja.
"Peningkatan ketara ini berlaku setelah beberapa penambahbaikan dilaksanakan pada 1 September 2020, 1 September 2022, dan 1 Ogos 2023; masing-masing bertujuan untuk menjadikan program S-MM2H lebih menarik," ujarnya.
Abdul Karim berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Program MM2H Sarawak di Bangunan Baitulmakmur II di Petra Jaya di sini, hari ini.
Sejak MTCP mengambil alih program S-MM2H daripada Jabatan Imigresen Sarawak pada 2020 juga katanya, MTCP telah menubuhkan Panel Sehenti untuk meluluskan dan menyegerakan semua permohonan S-MM2H.
Beliau juga mendedahkan, jumlah permohonan S-MM2H meningkat sebanyak 22.90 peratus iaitu dari 441 pada tahun 2022 kepada 542 pada 2023.
Pada 2023, jumlah deposit tetap (FD) yang ditempatkan oleh peserta S-MM2H di bank tempatan Sarawak adalah RM56.7 juta.
"Sehingga Ogos 2024, jumlah peserta yang diluluskan mencapai 386 dengan jumlah FD berjumlah RM77.55 juta,” katanya lagi.
Dengan kadar kelulusan yang hampir mencapai 100 peratus juga katanya, semua permohonan tersebut telah melalui proses semakan yang ketat oleh Jabatan Imigresen Malaysia dan beberapa agensi lain sebelum sampai kepada jawatankuasa.
"Mereka (pemohon) telah melengkapkan semua keperluan, barulah permohonan boleh sampai ke jawatankuasa ini dan pada asasnya, apabila ia tiba di peringkat tersebut, semuanya sudah teratur," katanya lagi.
Turut hadir pada sidang media tersebut ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Hii Chang Kee.
|