PKMB Limbang mencari waris bayi lelaki yang ditinggalkan di Trusan, Lawas pada 9 Oktober lalu.
LIMBANG: Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian (PKMB) Limbang sedang mengesan waris dan ibu kandung kepada seorang bayi lelaki yang ditinggalkan di atas meja di hadapan sebuah rumah di Kampung Lintang, Trusan dekat sini pada 9 Oktober lepas.
PKMB Limbang dalam kenyataan media hari ini berkata, bayi lelaki itu dijumpai penduduk kampung yang tinggal di rumah tersebut di atas meja dibalut dengan sehelai kain.
Jelasnya, bayi lelaki itu diselamatkan di bawah Seksyen 17(1)(e)(i) Akta Kanak-Kanak 2001 dan kes itu telah dibawa ke Mahkamah Lawas pada 28 Oktober lepas bagi Perintah Jagaan Sementara di Tempat Selamat yang diwartakan.
“Pelindung telah mendapat pengecualian Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 untuk membuat siaran media bagi tujuan mengesan ibu kandung dan waris kanak-kanak.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau mengenali ibu kandung atau waris bayi lelaki ini diminta untuk menghubungi PKMB Limbang atau Pelindung Alister dan Jujiana di talian 085-211930 dengan segera,” kata kenyataan itu.
Kata PKMB Limbang lagi, selain itu sesiapa yang membuat panggilan palsu berhubung kes ini boleh didakwa mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia yang boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda hingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali.
|