Dr Jerip (enam kiri) melancarkan buku 'The Cultures and Traditions of Biannah.'
KUCHING: Penulisan buku mengenai budaya dan tradisi masyarakat Bidayuh merupakan salah satu usaha untuk memelihara dua elemen penting tersebut yang menjadi identiti masyarakat Bidayuh.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Dr Jerip Susil berkata, pemeliharaan budaya dan tradisi adalah penting agar tidak dilupakan dan lenyap ditelan zaman.
"Kita ada banyak buku ditulis mengenai masyarakat Bidayuh dan buku 'The Cultures and Traditions of Biannah' yang dilancarkan hari ini merupakan sebuah lagi buku sebagai usaha untuk memelihara budaya dan tradisi masyarakat Bidayuh.
"Jadi saya berharap buku ini akan menjadi rujukan untuk kita semua mendalami budaya dan tradisi masyarakat Bidayuh Biannah yang berkait rapat dengan rumah panjang Annah Rais," ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Program Bersama Komuniti Padawan sempena Majlis Pelancaran Buku 'The Cultures and Traditions of Biannah' di Dewan Sri Bunga Rampai, Jalan Taman Budaya di sini, hari ini.
Dr Jerip turut berterima kasih kepada keluarga penulis mendiang Charles Bowi Mayor atas jemputan melancarkan buku tersebut yang padat mengenai sejarah, budaya dan tradisi kumpulan etnik kecil Biannah.
Beliau turut berharap budaya dan tradisi masyarakat Bidayuh dapat dikomersialkan suatu hari nanti seperti yang dilakukan oleh Jepun dan Korea.
Sementara itu anak kepada mendiang penulis, Abraham Bunyoh Bowi mengucapkan terima kasih kepada semua yang membantu dalam kejayaan penerbitan buku tersebut.
"Buku ini sangat bermakna dan kami sangat berbangga dengan penghasilan buku ini meskipun hanya tiba di sini selepas bapa kami meninggal dunia beberapa bulan lepas.
"Kami berharap buku ini akan menjadi bahan rujukan berguna kepada semua untuk mendalami budaya dan tradisi masyarakat Biannah," katanya.
Dalam pada itu, buku tersebut juga berpotensi sebagai sumber pendidikan dan panduan pelancong, bukan sahaja mempromosikan kesedaran di kalangan pelawat mengenai budaya tetapi juga memudahkan migrasi pengetahuan untuk generasi akan datang.
Berketebalan 203 muka surat, buku itu boleh didapati dalam masa terdekat di kedai-kedai buku terpilih pada harga RM138 senaskah untuk kulit tebal dan RM83 senaskah untuk kulit lembut dan e-buku.
|