Zulkipli menyampaikan amanat semasa Perhimpunan Bulanan di pekarangan kawad IPD Sibu pagi semalam.
SIBU: Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili menekankan kepentingan integriti dalam kalangan pegawai dan anggota polis sebagai nilai asas perlu dipegang teguh dalam menjalankan tugas.
Menurutnya, integriti memainkan peranan penting dalam membina dan mengekalkan kepercayaan masyarakat terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau menjelaskan tanpa integriti, imej pasukan akan tercalar dan kepercayaan masyarakat terhadap pasukan keselamatan negara terjejas.
"Kepercayaan awam adalah elemen kritikal dalam keberkesanan PDRM menjaga keamanan dan ketenteraman awam.
“Integriti adalah kunci utama dalam hubungan kita dengan masyarakat.
"Ia bukan sekadar prinsip tetapi merupakan keutamaan dalam setiap tindakan dan keputusan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam amanatnya pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Daerah di pekarangan kawad Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu pagi semalam.
Zulkipli menyampaikan Surat Penghargaan kepada Inspektor Mohd Salman Zulfitri Sheekandar pada Perhimpunan Bulanan IPD Sibu semalam.
Majlis tersebut dihadiri pegawai-pegawai kanan, ketua-ketua bahagian dan anggota polis pelbagai unit di IPD Sibu.
Zulkipli mengingatkan pegawai dan anggota polis harus sentiasa berusaha menegakkan prinsip ini dalam menjalankan tanggungjawab harian mereka.
Dalam ucapannya, beliau turut menggesa setiap anggota polis agar sentiasa menilai diri dan memperbaiki cara melaksanakan tugas.
"Penilaian kendiri dan komitmen memperbaiki kelemahan diri adalah asas dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada masyarakat," jelasnya.
Beliau juga menekankan kepentingan memperkukuh kemahiran dan pengetahuan setiap anggota polis, khususnya dalam menghadapi cabaran dan isu-isu keselamatan yang semakin kompleks.
"Kemahiran ini penting untuk memastikan pasukan polis sentiasa bersedia menghadapi apa juga situasi di lapangan," katanya.
Sebagai tanda penghargaan terhadap integriti dan prestasi cemerlang anggotanya, Zulkipli turut menyampaikan surat penghargaan kepada 30 penerima pada perhimpunan tersebut.
Penerima terdiri daripada pegawai kanan, anggota dan pegawai awam IPD Sibu yang telah menunjukkan dedikasi dan disiplin tinggi dalam menjalankan tugas.
Zulkipli berkata, penghargaan itu diberikan sebagai dorongan dan pengiktirafan kepada anggota-anggota yang berusaha mencapai standard tinggi dalam kerjaya mereka.
Beliau berharap agar semua penerima terus menjadi contoh teladan kepada anggota lain dalam pasukan.
Turut hadir Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu Superintenden Boniface Bajai, ketua-ketua bahagian, ketua-ketua balai dan pegawai-pegawai kanan IPD Sibu.
Kehadiran mereka memperlihat kesatuan dan komitmen dalam memperkukuh integriti di setiap peringkat dalam pasukan.
"Setiap anggota dan pegawai terus teguh berpegang kepada nilai-nilai integriti dalam melaksanakan tugas menjaga keselamatan dan ketenteraman di daerah Sibu," jelasnya.
|