Rakyat Sarawak sendiri masih perlu dibantu
- Abang Johari kesal dengan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu Sarawak membantu negeri lain dan menyifatkannya tidak munasabah
Abang Johari mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir pada sidang media selepas merasmikan persidangan SSI 2024. - Gambar Roystein Emmor
KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kesal dengan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu Sarawak membantu negeri lain dan menyifatkannya tidak munasabah.
Beliau berkata walaupun Sarawak diiktiraf sebagai negeri berpendapatan tinggi namun masih banyak perlu dilakukan khususnya membantu meningkatkan pendapatan isu rumah rakyatnya lebih-lebih lagi yang tinggal di luar bandar.
“Pepatah ada mengatakan, ‘kebajikan bermula di rumah’. Rakyat Sarawak, khususnya di luar bandar masih menghadapi banyak masalah, lebih-lebih lagi dari segi pembangunan infrastruktur asas dan ini akan terus menjadi antara keutamaan kita (Kerajaan Sarawak).
“Sebab itu saya buat bekalan elektrik, air dan bina jambatan. Kalau dahulu rumah panjang menggunakan diesel sekarang mereka sudah menggunakan solar. Semua ini memerlukan duit dan kita (Kerajaan Sarawak) sedang bekerja keras.
“Belum lagi sekolah, banyak yang ‘rempek’ (usang) dan Sarawak terpaksa menggunakan duit sendiri terlebih dahulu (untuk baik pulih atau bina semula),” katanya pada sidang media selepas merasmikan persidangan Wawasan Kelestarian Sarawak (Sarawak Sustainability Insights-SSI) 2024 di sebuah hotel di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan pemberita yang memintanya mengulas mengenai kenyataan Tun Dr Mahathir itu.
Abang Johari berkata Sarawak membangun sekarang kerana kerajaannya berjaya mengurus ekonomi dengan baik, sehingga diiktiraf negeri berpendapatan tinggi tetapi usahanya belum selesai lagi.
“Memang kita negeri berpendapatan tinggi tetapi pendapatan isi rumah belum (tinggi) lagi, sebab itu saya mahu membangunkan kawasan luar bandar,” ujarnya.
Beliau berkata Sarawak sepatutnya diberi peruntukan yang lebih besar kerana keluasannya sama dengan keluasan keseluruhan Semenanjung Malaysia.
Katanya lagi, Tun Dr Mahathir tidak boleh membandingkan Sarawak dengan Kedah kerana negeri itu jauh lebih kecil, hanya sebesar daerah Baram.
Abang Johari menambah, Sarawak hanyalah sebuah negeri, bukan kerajaan persekutuan dan tanggungjawab membantu negeri lain adalah tanggungjawab kerajaan persekutuan.
“Cukai petroleum pergi ke kerajaan pusat, cukai korporat juga dibayar kepada kerajaan pusat.
“PETRONAS buat duit pun bayar cukai, kontraktor-kontraktor di bawah PETRONAS juga bayar cukai korporat kepada kerajaan pusat, dividen dan royalti pun mereka ambil tetapi Sarawak punya sikit saja, cukai jualan saja,” katanya.
Tun Dr Mahathir dalam satu wawanacara bersama sebuah portal berita pada Isnin berkata Sarawak, yang kini mencapai status berpendapatan tinggi, seharusnya membantu negeri yang mundur untuk membangun.
“Sarawak sudah jana banyak wang. Belanjawannya RM11 bilion – sangat tinggi, berbanding Kedah, yang bajetnya hanya RM700 juta,” katanya.
Bekas Perdana Menteri itu berkata: “Kita harus ingat bahawa Malaysia sebuah persekutuan. Negeri yang lebih kaya mesti kongsi kekayaan dengan yang lebih miskin.
“Tetapi keadaan tidak selalu begitu. Pada mulanya, sudah tentu Sarawak dan Sabah miskin, dan kerajaan persekutuan terpaksa bantu mereka. “Kini mereka tidak lagi miskin dan sudah tiba masanya mereka bantu negeri yang lebih miskin,” katanya.
|