Sungai Petani: Seorang penganggur dipenjara sebulan dan didenda RM4,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, kerana membuat hantaran hasutan terhadap institusi diraja di akaun TikTok miliknya, Julai lalu.
Majistret M Kalaiarasi juga memerintahkan tertuduh, Nor Ismail Amran Ghazilah, 42, dipenjara lapan bulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa menerbitkan penerbitan menghasut melalui aplikasi TikTok.
Tertuduh yang berasal dari Kuala Lumpur didakwa melakukan kesalahan itu di pekan Sungai Petani, jam 10 malam, 6 Julai lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4 (1)(c) Akta Hasutan 1948 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S Preeya manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Farahdina Che Bakar.
Nor Ismail turut merayu agar hukuman ringan dikenakan ke atasnya dan memberitahu mahkamah bahawa dia tidak bermaksud untuk menghasut kerana tidak membuat ucapan dan hanya menulis di TikTok sahaja.
Tertuduh turut memohon mahkamah menghalang media membuat liputan kes berkenaan.
"Saya mohon mahkamah tak benarkan media 'cover' (buat liputan), kes saya tak besar. Tadi saya pergi tandas ada media ambil gambar, mohon mahkamah halang media," katanya.
Farahdina kemudian memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan terhadap tertuduh yang sebelum ini bekerja sebagai pekerja kontrak namun sudah lapan bulan tidak bekerja dan tinggal bersama ibu yang sudah tua.
Bagaimanapun, Preeya memohon hukuman penjara yang setimpal kerana hasutan terhadap institusi diraja selain memberi pengajaran kepada tertuduh agar lebih berhati-hati menggunakan media sosial serta memberi pengajaran kepada orang awam.