Bandar Baharu: Berat ujian ditanggung seorang suami apabila perlu menjaga isterinya yang terlantar sakit strok selain empat jari kaki kanan dan kiri terpaksa dipotong akibat kencing manis.
Roslin Mat, 60, berkata, isterinya, Salmah Ahmad, 54, terlantar sejak 8 Ogos lalu dan memerlukan penjagaan rapi sehingga menyebabkan dia tidak dapat keluar mencari nafkah.
Katanya, keadaan itu menyebabkan dia hanya bergantung kepada ihsan orang kampung dan saudara mara untuk kelangsungan hidup.
"Isteri saya diserang strok Januari lalu, namun ketika itu dia masih boleh berjalan. Namun pada awal Ogos lalu, dia lumpuh dan tidak mampu bercakap.
"Kakinya pula luka menyebabkan dua jari kaki kanan dipotong pada Januari lalu dan dua jari kaki kiri pula dipotong Ogos lalu. Luka itu perlu dicuci setiap hari.
"Saya terpaksa buat sendiri (cuci kaki isteri) di rumah kerana tiada kereta untuk membawanya ke hospital," katanya yang tinggal di Kampung Terap, Serdang di sini.
Roslin berkata, dia hilang pendapatan kira-kira RM500 sebulan dengan mengambil upah kerja kampung sebelum ini.
Katanya, isterinya dahulu mengambil upah membuat kuih bagi menampung perbelanjaan keluarga.
"Anak saya berusia 10 tahun kini terpaksa mengayuh basikal ke sekolah. Saya tak boleh hantar dia ke sekolah seperti biasa.
"Waktu pagi saya akan uruskan isteri saya terlebih dahulu, dia hanya boleh minum susu khas menerusi tiub di hidung. Mujur susu khas erharga RM112 satu tin diberikan pihak Hospital Kulim.
"Peralatan untuk mencuci luka serta lampin pakai buang dibeli menggunakan duit bantuan zakat sebanyak RM300 sebulan. Wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan juga sudah dipotong dengan alasan ketika itu isteri saya masih boleh berjalan.
"Sejak Julai lalu, saya tidak lagi menerima wang bantuan JKM. Keadaan saya agak susah ketika ini, saya terpaksa beritahu doktor untuk beri bekalan ubat dalam tempoh yang panjang kerana saya tak mampu nak bawa isteri saya ke hospital untuk temujanji secara berkala. Saya tak ada duit untuk sewa kereta," katanya.
Roslin turut menjaga ibu mentuanya yang sudah berusia 79 tahun.
Orang ramai yang ingin membantu boleh dihubunginya menerusi nombor telefon 01118526106 atau menyalurkan sumbangan menerusi akaun Public Bank atas nama Roslin Mat (4669544124).