5,000 penduduk Pulau Tuba bakal nikmati kemudahan lebih baik
Oleh Hamzah Osman - September 8, 2024 @ 11:49am [email protected]
Wan Kamarul Faisal (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang tempat pertama kategori Lelaki Terbuka, Adi Azri (dua dari kanan) pada majlis penyampaian hadiah Tuba Cross Country di Sekolah Kebangsaan Pulau Tuba, Langkawi. - Foto NSTP/Hamzah Osman
LANGKAWI: Kira-kira 5,000 penduduk di Pulau Tuba di sini bakal menikmati kemudahan asas membabitkan jalan raya, bekalan air, elektrik dan capaian internet lebih sempurna sebaik projek pembangunan bernilai RM2.5 juta siap.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Wan Kamarul Faisal Wan Kamardin, berkata projek pembangunan insfrastruktur itu dilaksanakan di bawah peruntukan Kampung Angkat MADANI.
"Pulau Tuba antara 42 kampung seluruh negara yang dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI yang diperkenalkan dalam Belanjawan 2024 dengan setiap satu menerima peruntukan RM2.5 juta.
"Projek yang sedang giat dilaksanakan adalah pembinaan tiga telaga tiub membabitkan sebuah masjid dan dua sekolah, pemasangan 100 lampu solar dan selenggara jalan di pulau berkeluasan 17.63 kilometer (km) persegi itu.
"Selain itu, turut dilaksanakan pemasangan permaidani dan pembaikan tandas masjid," katanya pada sidang media selepas menyampaikan hadiah Tuba Cross Country (TCC) di Sekolah Kebangsaan Pulau Tuba, di sini, hari ini.
Wan Kamarul Faisal berkata, projek pembangunan di Pulau Tuba di bawah Kampung Angkat MADANI diselia oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, manakala LADA menjadi agensi pelaksana.
Mengulas TCC, beliau berkata, acara julung kali yang juga sebahagian aktiviti Kampung Angkat MADANI itu menerima 368 penyertaan dan dibahagikan kepada dua kategori iaitu larian sejauh 10 kilometer (km) dan 'Fun Run' 5km.
"Bertemakan 'Discover The Wonders of Tuba Island' penganjur menetapkan peserta berlari melalui kawasan perkampungan nelayan, sawah padi dan pinggir pantai yang mempunyi pemandangan segar dan menarik," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/09/1295646/5000-penduduk-pulau-tuba-bakal-nikmati-kemudahan-lebih-baik
|