Bebas hutang jika simpan SSPN sejak kecil - PTPTN
Oleh Zuhainy Zulkiffli - September 8, 2024 @ 9:59am [email protected]
Norliza (dua dari kiri) pada majlis perasmian Karnival Semarak Merdeka PTPTN 2024 di Bayan Baru, semalam. - Foto NSTP/Zuhainy Zulkiffli
GEORGETOWN: "Kalau zaman dulu mahu sambung belajar kena jual tanah dan harta, tapi sekarang kita simpan sejak kelahiran anak itu sehingga usia 18 tahun, mereka ada cukup sumber kewangan untuk lanjutkan pelajaran."
Itu kata-kata Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Seri Norliza Abdul Rahim mengenai usaha yang giat dijalankan agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu bagi menggalakkan konsep menabung sejak kecil.
Katanya, PTPTN menyediakan instrumen simpanan terbaik bagi mendorong dan menggalakkan masyarakat menabung untuk tujuan pendidikan tinggi sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman pendidikan.
"Menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) kanak-kanak yang mencapai usia melanjutkan pelajaran di universiti boleh 'merdeka' daripada membuat pinjaman pendidikan dengan menggunakan simpanan yang dibuat.
"Jadi kalau kita bercakap mengenai pendidikan percuma, inilah peluangnya sebab banyak kelebihan simpan menerusi SSPN termasuk dapat pengecualian cukai sehingga RM8,000," katanya kepada media di sini, semalam.
Norliza ditemui pada majlis perasmian Karnival Semarak Merdeka PTPTN 2024 di Bayan Baru di sini dan turut hadir, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.
Karnival berkenaan membawa objektif nilai kemerdekaan dalam perancangan kewangan supaya masyarakat bebas daripada hutang.
Norliza berkata, selain itu, terdapat juga dividen yang kompetitif setanding dengan agensi lain dan dijamin oleh kerajaan berikutan patuh syariah.
Sempena karnival itu, pelbagai aktiviti disediakan bagi disertai ibu bapa dan kanak-kanak.
PTPTN juga tidak melupakan golongan asnaf dengan memberi sumbangan peranti kepada 10 pelajar bagi membantu mereka dalam pembelajaran.
Selain itu, PTPTN turut mengadakan slot Sesi 'Ngopi' Bersama Norliza untuk memberikan pendedahan serta informasi mengenai peranan dan fungsi PTPTN dan produk SSPN.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/09/1295596/bebas-hutang-jika-simpan-sspn-sejak-kecil-ptptn
|