Alor Setar: Dua sungai di negeri ini mencatatkan aras air melebihi tahap bahaya berikutan hujan lebat yang melanda lebih sejam hari ini.
Berdasarkan laman web rasmi Info public Infobanjir memaklumkan, Sungai Sedim mencatatkan aras air 37.83 meter (m) pada jam 7.45 malam hari ini melebihi tahap bahaya berbanding 36.5m sebelum ini dan trend menunjukkan air semakin menaik.
Selain itu, Sungai Gurun di Kampung Perupok juga menunjukkan peningkatan aras air melebihi tahap bahaya 4.11m berbanding 3.5m sebelum ini dan trend air juga menaik pada waktu yang sama.
Manakala Sungai Perik di Kampung Perik di Padang Terap pula mencatatkan 11.6m melebihi tahap waspada 11m sebelum ini.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Yan, Leftenan (PA) Muhammad Zul Izzi Zulkifli berkata, setakat ini dua kawasan perumahan di daerah ini iaitu Taman Selat dan Taman Samudera terjejas dinaiki air.
Beliau berkata, Taman Selat membabitkan seramai dua keluarga manakala Taman Samudera seramai tujuh keluarga.
Katanya, setakat ini tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah ini.
Media sebelum ini melaporkan, hujan lebat lebih sejam yang melanda daerah ini menyebabkan berlakunya arus deras di air terjun Seri Perigi dan Titi Hayun sehingga mengakibatkan limpahan sungai dan banjir kilat di empat kampung.