Markas 2 Div tahan 4 suspek seludup 129kg ketum di hutan sempadan
Oleh Noorazura Abdul Rahman - September 6, 2024 @ 6:21pm [email protected]
Empat guni berisi 129kg ketum yang dirampas di kawasan hutan sempadan Malaysia-Thailand di Padang Terap. - Foto ihsan ATM
KUALA NERANG: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menahan empat lelaki dan merampas enam guni daun ketum seberat 129 kilogram (kg) cuba diseludup ke Thailand di sempadan negara di Padang Terap, semalam.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) menerusi kenyataan berkata daun ketum itu dirampas di kawasan hutan sempadan sektor Operasi Benteng Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia pada jam 12.20 tengah hari.
"Pasukan beroperasi menahan empat lelaki warga tempatan berusia antara 22 hingga 43 tahun dalam keadaan mencurigakan bersama dua pacuan empat roda dan dua motosikal di kawasan hutan berdekatan sempadan Malaysia-Thailand.
Empat suspek penyeludup ketum bersama kenderaan yang dirampas dalam serbuan di kawasan hutan sempadan Malaysia-Thailand di Padang Terap. - Foto ihsan ATM
"Siasatan mendapati mereka melakukan aktiviti penyeludupan ketum dengan cara meninggalkan bungkusan ketum di beberapa kawasan di sekitar kawasan hutan sempadan.
"Pasukan beroperasi melaksanakan serbuan di kawasan dimaklumkan hasil soal siasat ke atas suspek dan menemui enam guni berisi daun ketum seberat 129kg," katanya.
Turut dirampas empat telefon bimbit, tiga beg, sebilah parang dan sebuah 'power bank' dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan RM60,320.
Empat lelaki terbabit serta daun ketum, kenderaan dan barang dirampas diserahkan kepada Balai Polis Kuala Nerang untuk tindakan lanjut.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/09/1295024/markas-2-div-tahan-4-suspek-seludup-129kg-ketum-di-hutan-sempadan
|