Kuala Nerang: Lelaki yang ditemukan lemas di
Empangan Tasik Pedu, hari ini, dipercayai diserang sawan sebelum terjatuh ke dalam tasik.
Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar berkata, ketika kejadian mangsa yang berusia 30-an dan rakannya sedang memukat ikan di kawasan itu.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 6.50 pagi yang memaklumkan mangsa terjatuh ke dalam Tasik Pedu ketika memukat ikan.
"Pada jam 8 pagi, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan oleh pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap yang mengetuai operasi bersama pasukan Bomba dan Penyelamat.
"Hasil siasatan mendapati pengadu bersama rakannya iaitu mangsa dipercayai turun ke tasik dengan menaiki bot pada jam 4 pagi untuk memasang pukat dan berpatah balik ke tebing untuk berehat sebentar.
"Bagaimanapun pada jam 5 pagi, mereka dipercayai turun semula ke tasik untuk menarik pukat dan ketika itu tiba-tiba rakannya mengalami sawan dan terjatuh," katanya ketika dihubungi hari ini.
Mulkiman berkata, pengadu cuba menyelamatkan rakannya dengan terjun ke dalam tasik namun mangsa tidak dapat ditemui.
Beliau berkata, pengadu kemudian menghubungi rakannya untuk mendapatkan bantuan dan menghubungi polis.
"Op SAR terus dilakukan sehingga mangsa ditemui pada jam 11.45 pagi tadi.
"Mayat dibawa ke tebing dan dicam isterinya sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk tindakan tindakan lanjut," katanya.
Mulkiaman berkata, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.
Difahamkan, mangsa dipercayai bekerja sendiri.
Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang, Aminuddin Mad Khozari berkata, mangsa ditemui ketika proses pencarian di kawasan dia dilaporkan terjatuh.