Imigresen serbu premis tawar khidmat 'tukar majikan' di Kulim
Oleh Zuliaty Zulkiffli - September 6, 2024 @ 3:54pm [email protected]
KULIM: Sebuah premis yang menggunakan khidmat agensi pekerjaan dengan menawarkan perkhidmatan 'tukar majikan' di Lunas diserbu Jabatan Imigresen (Imigresen) Kedah, Rabu lalu.
Dalam operasi itu, seramai 228 warga asing ditahan dalam operasi oleh Unit Risikan dan Operasi, Bahagian Penguat Kuasa Imigresen Kedah.
Pengarah Imigresen Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain, berkata tangkapan membabitkan 222 lelaki warga Bangladesh, tiga lelaki dan dua wanita warga China, serta seorang warga India.
Beliau berkata, agensi pekerjaan terbabit menawarkan perkhidmatan menukar majikan dalam pelbagai sektor pekerjaan dengan bayaran yang ditetapkan.
"Kelulusan diperlukan terlebih dahulu sebelum pekerja boleh dibekalkan kepada majikan baharu.
"Agensi terbabit menggunakan platform media sosial untuk mempromosikan penawaran pekerja di semua sektor dan berjaya meyakinkan majikan yang terdesak memerlukan pekerja untuk mendapatkan kelulusan segera," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Ridzzuan berkata, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Akta Pasport 1966, dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Manusia 2007.
Beliau berkata, suspek dihantar ke Pejabat Imigresen Anak Bukit, di Alor Setar untuk proses dokumentasi dan tindakan lanjut.
"Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati ketika memilih agensi pekerjaan dan memastikan agensi terbabit berdaftar dengan Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan," katanya.
Imigresen Kedah tidak akan berkompromi dengan kemasukan pelawat yang tidak memenuhi syarat kemasukan ke negara ini dan akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/09/1294899/imigresen-serbu-premis-tawar-khidmat-tukar-majikan-di-kulim
|